
Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia Amali Munif Rahmat berkata kuota 1,800 liter diesel sebulan dengan harga RM1.88 seliter yang terus dinikmati mereka membolehkan kos operasi dikekalkan.
“Jadi kita tak akan naik kadar tambang ketika ini dan kekalkan tambang lama…saya tak pasti persatuan atau pengusaha mana hendak naikkan tetapi bukan kami.
“Bagi kami kuota 1,800 liter diesel memadai membantu menggerakkan operasi, kalau hendak tambah mungkin boleh mohon tambahan,” katanya kepada FMT.
SKDS antara inisiatif diperkenalkan kerajaan untuk mengurangkan beban pengusaha sektor pengangkutan awam darat dan barangan dengan penerima kad fleet boleh membeli diesel di bawah harga runcit.
Mulai Isnin lalu, kerajaan menetapkan harga bahan api itu pada kadar RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang mampu menjimatkan RM4 bilion setahun.
Selain SKDS, kerajaan juga melaksanakan inisiatif Budi Madani yang menyalurkan RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian, petani dan pekebun kecil.
Namun, Amali berkata pihaknya akan meneliti semula tambang sekiranya kos operasi naik seperti alat ganti dan penyelenggaraan yang ketika ini masih kekal.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia Laili Ismail turut mengesahkan ahlinya tidak akan menaikkan kadar tambang buat masa ini.
Menurutnya, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan kos operasi dapat dikekalkan dan berharap ada inisiatif lain diberi.
“Kita akan ada pertemuan dengan wakil Kementerian Kewangan esok untuk bincang apa lagi bantuan disediakan,” katanya.