Permintaan tenaga tinggi pada Aidiladha, TNB kukuh bekalan di Kelantan

Permintaan tenaga tinggi pada Aidiladha, TNB kukuh bekalan di Kelantan

TNB mahu bina 114 pencawang lagi namun 84 tapak masih berdepan isu tanah.

Tenaga Nasional Berhad berkata pihaknya mengurangkan gangguan bekalan terutama pada musim perayaan Aidiladha yang disambut meriah di Pantai Timur khususnya di Kelantan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tenaga Nasional Berhad (TNB) mahu memperkukuh sistem bekalan di Pantai Timur bagi menampung jumlah permintaan tinggi setiap kali sambutan Aidiladha khususnya di Kelantan.

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Mahathir Nor Ismail, berkata sebanyak 323 inisiatif dikenal pasti untuk dilaksanakan merangkumi kerja naik taraf kapasiti alatubah pembahagian, membina pencawang baharu dan projek pengukuhan sistem voltan rendah.

Rekod menunjukkan gangguan voltan rendah melibatkan pelanggan domestik di negeri Cik Siti Wan Kembang pada musim perayaan Aidilfitri tahun ini menurun 67%, sekalipun permintaan tertinggi meningkat 27MW kepada 570MW dalam tempoh itu.

Mahathir Nor Ismail.

Beliau berkata, prestasi lebih baik itu berdasarkan gangguan voltan rendah di Kelantan menurun daripada 1,966 dalam tempoh 12 hari mulai enam hari sebelum Aidilfitri tahun lalu, kepada 657 dalam tempoh sama tahun ini.

“Gangguan ini adalah disebabkan permintaan bermusim meningkat dan membebankan sistem bekalan sedia ada sehingga memberi kesan kepada pepasangan TNB seperti talian atas bertebat, fius serta komponen peralatan lain.

“Dari segi pembinaan pencawang elektrik, 114 lokasi untuk diwujudkan pencawang dikenal pasti. Daripada jumlah itu, 30 tapak telah diberikan kemasukan awal. Baki 84 tapak masih menghadapi isu tanah, sekali gus memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk pemilik tanah dan pihak berkuasa bagi menyelesaikannya,” katanya dalam kenyataan.

Mahathir turut mengingatkan pengguna memastikan semua soket dalam keadaan baik dan tidak dibebankan dengan penyesuai (adapter) berlebihan.

TNB juga menasihatkan pengguna menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan TNB di talian 15454 atau Facebook TNB CareLine untuk mendapatkan bantuan, jika berlaku gangguan bekalan elektrik, ternampak kejanggalan, atau mempunyai keraguan berkaitan pepasangan TNB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.