Datuk, nenek Zayn Rayyan dijangka bebas pagi ini

Datuk, nenek Zayn Rayyan dijangka bebas pagi ini

Penahanan dibuat oleh polis di rumah mereka di Subang Bestari selepas pulang dari Kompleks Mahkamah Petaling Jaya semalam.

Fahmi Abd Moin
Peguam Fahmi Abd Moin berkata mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan di rumah di Subang Bestari semalam.
PETALING JAYA:
Datuk dan nenek kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin yang mati dibunuh di sekitar Apartmen Idaman, Damansara Damai, Disember lalu kemungkinan dibebaskan pagi ini.

Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili suami isteri itu berkata, polis melakukan penahanan di rumah mereka di Subang Bestari, selepas pulang dari Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, semalam.

“Datuk dan nenek Zayn Rayyan akan dibawa ke mahkamah pagi ini dan akan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Saya dimaklumkan mereka ditahan di Subang Bestari selepas balik dari mahkamah dan dibawa ke IPD Petaling Jaya. Saya kemudian ke IPD selepas dimaklumkan penahanan itu.

“Saya dimaklumkan mereka ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.

Semalam, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan pasangan itu ditahan polis untuk membantu siasatan pembunuhan Zayn.

Zayn dilaporkan hilang pada 5 Dis lalu di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200m dari blok rumahnya di Apartment Idaman, keesokannya.

Mayat mangsa ditemui kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari. Hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badan akibat mempertahankan diri.

Pada 1 Jun lalu, polis menahan reman ibu bapa Zayn, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari dan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.