5 lagi diambil keterangan kes 2 maut keracunan makanan

5 lagi diambil keterangan kes 2 maut keracunan makanan

Polis berkata lima individu yang diambil keterangan adalah ahli keluarga, doktor patologi dan pramusaji.

ipin
Ketua Polis Gombak Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata setakat ini 13 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis mengambil keterangan lima individu lagi bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes keracunan makanan menyebabkan dua kematian Sabtu lalu.

Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata secara keseluruhan 13 individu diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan setakat ini.

“Terbaru, lima individu diambil keterangan adalah ahli keluarga, doktor patologi dan pramusaji,” katanya, menurut Harian Metro.

Media semalam melaporkan, lapan individu diambil keterangan terdiri daripada pihak penganjur, ahli jawatankuasa, pengetua sekolah dan penyedia makanan.

Noor Ariffin dilaporkan berkata, dua laporan polis diterima membabitkan kes keracunan makanan itu.

Beliau dilaporkan berkata, mangsa lain yang mengalami keracunan makanan sedang dikenal pasti untuk dirakam percakapan.

Dalam kejadian itu, polis mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dan remaja 17 tahun maut dipercayai akibat keracunan daripada makanan yang disediakan di sebuah sekolah.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan seramai 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas memakan sarapan pagi pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) Peringkat Daerah Gombak.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ummi Kalthom Shamsudin dilaporkan berkata, keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa sudah berubah rupa dan rasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.