Sanusi ‘bermasalah’ dakwa Pulau Pinang pilih kasih bekal air, kata Fahmi

Sanusi ‘bermasalah’ dakwa Pulau Pinang pilih kasih bekal air, kata Fahmi

Fahmi Fadzil menyelar Sanusi Nor kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan hasutan berhubung masalah air di Sungai Bakap.

Fahmi Fadzil mendakwa Menteri Besar Kedah Sanusi Nor tidak bercakap dengan fakta dan sering berbohong.
PUTRAJAYA:
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil membidas Menteri Besar Kedah Sanusi Nor yang disifatkan ‘sangat bermasalah’ berhubung dakwaannya Pulau Pinang bersikap pilih kasih dalam menangani masalah air di Sungai Bakap.

Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata kenyataan berbaur hasutan dan perkauman seperti itu tidak sepatutnya dikeluarkan seorang menteri besar.

“Itu mirip kenyataan hasutan dan juga bersifat rasis.

“Beliau sering kali tidak bercakap dengan fakta (dan) buka mulut sahaja bohong,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri.

Pada pelancaran jentera Perikatan Nasional (PN) PRK Sungai Bakap Sabtu lalu, Sanusi mendakwa masalah air di kawasan itu belum selesai disebabkan diskriminasi kerajaan Pulau Pinang.

“Kenapa di kawasan ini (Sungai Bakap) tiada air, tetapi di Tanjung (George Town) ada air? Ini kawasan Tok Lebai,” kata Sanusi, menggunakan label yang diberikan kepada penyokong PAS.

Hari ini, FMT melaporkan Exco Infrastruktur negeri Zairil Khir Johari berkata isu air di kawasan Seberang Perai Selatan (SPS) termasuk di Sungai Bakap sejak beberapa tahun lalu berpunca daripada peningkatan permintaan yang mendadak.

Beliau berkata isu itu telah ditangani melalui pelbagai langkah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), yang melaksanakan empat projek tebatan termasuk meningkatkan kapasiti loji rawatan air Bukit Panchor dan memasang tangki pam baharu di Taman Widuri.

Beliau juga berkata kawasan terjejas di Mukim 5, Sungai Bakap, menempatkan penduduk yang terdiri daripada semua kaum.

Penduduk Sungai Bakap berdepan gangguan air yang teruk, dengan beberapa kawasan mengalami tekanan rendah atau langsung tiada air dari 6 petang hingga tengah malam hampir setiap hari. Gangguan air berlarutan sehingga 18 jam sehari semasa musim perayaan.

Ramai penduduk, seperti di Taman Seruling Emas, menghadapi masalah itu secara berterusan. PBAPP mengumumkan projek bernilai RM25 juta tahun lepas untuk menangani masalah itu, tetapi penduduk melaporkan tiada peningkatan yang ketara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan bahawa Perak akan membekalkan air ke Pulau Pinang untuk membantu mengatasi kekurangan itu. Sumber baharu itu dijangka memberi manfaat kepada daerah Seberang Perai Selatan termasuk Sungai Bakap dengan menyediakan bekalan air yang lebih stabil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.