
Beliau mendedahkan perkara itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini, katanya, terdapat keperluan untuk membandingkan Malaysia dengan negara jiran dari segi pembangunan.
Walaupun mencapai pelbagai kemajuan, tetapi menurutnya, ia masih tidak menyamai kekuatan negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Vietnam yang bersaing rapat dengan Malaysia.
“Kita tidak lagi di ruang selesa. Kita gunakan, manfaatkan waktu kita untuk melakukan perbandingan dan melihat apa yang istimewa dan kekuatan ada pada (negara) jiran kita, yang bersaing dengan kita dan kita kenal pasti masalah itu dan kita tekankan kepada keperluan perubahan.”
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Anugerah Kecemerlangan Industri 2024 di sini. Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz.
Jumaat lalu, Tengku Zafrul mendedahkan pemilik TikTok ByteDance bercadang melabur kira-kira RM10 bilion dalam kecerdasan buatan dan menjadikan Malaysia hab AI serantau.
Bulan lalu, gergasi teknologi Google dilaporkan akan melabur RM9.4 bilion di Malaysia untuk menubuhkan pusat data pertamanya dan Wilayah Awan Google.
April lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft Corp, Satya Nadella mengumumkan rancangan syarikat itu untuk melabur RM10.5 bilion dalam awan dan infrastruktur AI di Malaysia dalam tempoh empat tahun akan datang.
Anwar berkata, di sebalik pengumuman itu, ia tidak bermakna “kita perlu berpuas hati”.
“Bilakah (projek) ini akan direalisasikan? Adakah kita akan lebih pantas daripada Singapura, Indonesia dan Vietnam atau ketinggalan di belakang mereka?”
Menteri kewangan itu berkata, untuk Malaysia kekal berdaya saing dan memanfaatkan pelaburan asing secara berkesan, agensi kerajaan dan pemain industri perlu terbuka untuk berubah serta melakukan perkara secara berbeza.
Katanya, ia terpulang kepada kementerian dan agensi kerajaan untuk memudahkan sebarang proses bagi menerima semua pelaburan.
Beliau turut menyentuh kurang persediaan untuk menarik bakat mempunyai kepakaran dalam AI kerana tiada fakulti AI di universiti tempatan.
“Jadi, sistem pendidikan kita perlu segera menyesuaikan diri dengan keadaan menerusi pendekatan berbeza atau berisiko ketinggalan.”
Beliau berkata, hanya beberapa institusi pengajian tinggi dapat menyesuaikan diri dengan baik sejajar permintaan berkembang pelbagai industri.