
Presiden Mohideen Abdul Kader, berkata ia bagi memastikan hanya golongan susah dan memerlukan mendapat manfaat, bukannya golongan kaya.
“Dengan memberikan setiap isi rumah 10,000 liter air percuma setiap bulan selama enam bulan, orang kaya yang ada kolam renang dan banyak kereta juga dapat manfaat,” katanya kepada FMT.
“Apa yang kita kena lakukan adalah mendenda mereka yang membazir air,” katanya.
Mohideen mengulas pengumuman pada Khamis, setiap isi rumah di Pulau Pinang akan menerima 10,000 liter (10 meter padu) air secara percuma bermula Julai hingga Disember.
Beberapa Adun termasuk daripada Pakatan Harapan menyuarakan tentangan terhadap peningkatan mendadak tarif air kepada semua pengguna domestik, yang mana diperkenal pada Februari.
Sebelum peningkatan tarif, Pulau Pinang menjadi negeri terendah mengenakan tarif air di negara ini, dengan kebanyakan pengguna kediaman membayar purata hanya RM5.55 sebulan.
Mohideen berkata, kerajaan negeri sepatutnya tidak tunduk kepada tekanan berkait keputusan dulu meningkatkan tarif bekalan asas itu.
“Dasar tidak patut berubah. Ini masalah dalam negara kita. Apabila timbul sahaja tekanan politik, kita meninggalkan dasar kita,” katanya.
Mohideen berkata, berbanding mengikut ahli politik berkepentingan, kerajaan perlu memaparkan keberanian melaksanakan dasar walaupun ia menjejaskan kepentingannya.
Penduduk Pulau Pinang merupakan pengguna air terbesar, di mana setiap individu menggunakan 300 liter sehari berbanding purata kebangsaan, 237 liter.
Secara globalnya, disyorkan kuantiti penggunaan perkapita sehari adalah 165 liter sahaja.
Profesor dalam kajian air dari Universiti Sains Malaysia, Chan Ngai Weng berkata walaupun rebat memberi kelegaan kepada pengguna, ia juga mengakibatkan kehilangan pendapatan signifikan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).
Chan, yang juga presiden Water Watch Penang, menyeru rakyat Pulau Pinang supaya lebih menghargai sumber berkenaan.
“Pengguna tidak boleh melihat (air percuma) sebagai hak. Kos merawat dan menyalurkan air mesti ditanggung,” katanya kepada FMT.
Katanya, pengguna sebaliknya belajar beradaptasi dengan tarif baharu tahun depan.
Dengan peningkatan itu, 20 meter padu pertama air kini berharga 62 sen, meningkat 182% daripada 22 sen.
Harga bagi 15 meter padu seterusnya melepasi 20 meter padu pertama meningkat 154% daripada 46 sen kepada RM1.17. Jumlah berikutnya berharga RM2.07 setiap meter padu.