Persatuan pengguna bantah kenaikan mendadak cukai taksiran Alor Setar

Persatuan pengguna bantah kenaikan mendadak cukai taksiran Alor Setar

Persatuan Pengguna Kedah menggesa kadar baharu cukai taksiran di Alor Setar yang berkuatkuasa 1 Jan ini ditangguhkan.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Yusrizal Yusoff menyerahkan memorandum bantahan kepada pegawai Majlis Bandaraya Alor Setar hari ini. (Gambar CAKE)
PETALING JAYA:
Sebuah persatuan pengguna Kedah menggesa kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan kadar cukai taksiran baharu yang diumumkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kerana disifatkan terlalu tinggi.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Yusrizal Yusoff, berkata ramai pemilik rumah menerima bil cukai baharu yang meningkat hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding sebelum ini.

“Kadar baharu ini terlalu besar bagi kebanyakan pemilik rumah,” katanya kepada FMT.

Menurut MBAS, kenaikan itu dibuat atas arahan kerajaan negeri bagi menyelaras kadar cukai dengan nilai hartanah semasa. Kadar taksiran tersebut kali terakhir disemak pada 1993, lebih 30 tahun lalu.

Kadar baharu ditetapkan pada 0.1% bagi hartanah kediaman dan 0.3% bagi lot komersial, berdasarkan nilai pasaran semasa.

Yusrizal berkata kenaikan itu dibuat pada waktu rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan, purata pendapatan isi rumah di Alor Setar adalah bawah RM6,000. Ramai yang sukar menampung kenaikan mendadak kadar cukai ini,” katanya.

Beliau juga menggesa supaya tarikh akhir untuk mengemukakan bantahan terhadap kenaikan cukai itu yang ditetapkan pada 5 Nov dilanjutkan kerana masih ramai penduduk masih belum mengetahui mengenai kadar baharu itu.

“Kami berharap pihak majlis dan kerajaan negeri dapat meneliti semula langkah ini dan memberikan lebih masa serta penjelasan kepada orang ramai,” katanya.

Yusrizal berkata, walaupun negeri lain seperti Selangor dan Pulau Pinang memperkenalkan kenaikan lebih kecil masing-masing sebanyak 25% dan 5%, peningkatan di Alor Setar jauh lebih tinggi kerana Kedah tidak membuat semakan berkala sebelum ini.

“Penduduk faham keperluan untuk menyemak kadar cukai itu, tetapi kenaikan sepatutnya secara berperingkat. Lonjakan hingga 200% selepas tiga dekad terlalu membebankan,” katanya.

MBAS berkata kadar cukai taksiran baharu itu berdasarkan nilai pasaran 2024, dengan rumah biasa dikenakan 0.11%, rumah kos rendah 0.09%, dan bangunan komersial 0.3%. Sebuah rumah setingkat bernilai RM350,000 akan dikenakan cukai sekitar RM385 setahun.

Semua hartanah di Alor Setar terlibat kecuali rumah ibadat, sekolah dan badan kebajikan. MBAS menjelaskan hasil cukai berkenaan digunakan untuk perkhidmatan asas seperti kutipan sampah, longkang dan lampu jalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.