
Timbalan Menteri Aiman Athirah Sabu berkata aktiviti itu menyalahi perjanjian sewaan atau pemilikan.
“KPKT memandang serius akan dakwaan bahawa terdapat sesetengah pihak yang memberikan sewaan kepada pihak ketiga,” katanya kepada FMT.
Semalam, FMT melaporkan ada peserta PPR mengaut keuntungan atas angin hingga RM1,000 sebulan dengan menyewakan kediaman dibeli mereka yang disubsidi lebih RM240,000 oleh kerajaan, terutama di Lembah Klang.
Semakan FMT di platform e-dagang hartanah mendapati banyak iklan sewa kediaman terbabit dipaparkan, walaupun rumah itu sepatutnya diduduki pembeli yang mendapat bantuan kerajaan.
Bantuan kerajaan membolehkan kediaman PPR dibeli pada harga sekitar RM35,000, menerusi inisiatif KPKT. Difahamkan bayaran pembiayaan bulanan bagi rumah itu maksimum RM300, bagi tempoh 15 tahun.
Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan memberitahu FMT bahawa rumah PPR atau perumahan DBKL mempunyai dua kategori, iaitu dijual atau disewa kepada B40, dan pemilik rumah tidak dibenarkan menyewakan semula unit mereka menurut perjanjian dengan pemaju iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau KPKT.
Pengerusi Prakash P Kalivanan menggesa kerajaan melakukan semak silang data untuk mengesan penyewa atau pemilik rumah PPR yang membeli kediaman lain, dan mengeluarkan golongan yang berkemampuan daripada PPR.
Prakash berkata ketiadaan akta khusus berkaitan penyewaan rumah PPR antara sebab ‘perniagaan sampingan’ ini berlaku.