
Mereka berkata, Anwar ‘menggunakan pengaruhnya’ ke atas SPRM untuk ‘agenda peribadinya’ terhadap Daim.
Keluarga itu mendakwa, akibat pengaruh itu SPRM pada 7 Jun tahun lalu mengeluarkan perintah pembekuan bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 meliputi semua akaun mereka.
Mereka berkata, perintah itu telah luput pada September tahun lalu, tetapi mereka tidak didakwa atas sebarang kesalahan pengubahan wang haram.
“Kami menulis kepada SPRM (awal tahun ini) untuk menjelaskan sama ada mereka mengarahkan bank untuk membekukan akaun kami tetapi tiada maklum balas,” kata keluarga itu, sambil menambah mereka menganggap akaun berkenaan telah disita.
Mereka juga mendakwa, tidak diberitahu apa kesalahan pengubahan wang haram yang sedang disiasat oleh SPRM untuk menjamin penyitaan itu.
Keluarga Daim mendakwa, bahawa pembekuan akaun peribadi dan syarikat mereka dilakukan dengan niat jahat dan kini memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman untuk membatalkannya.
Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan mereka pada 12 Jun.
Daim dan isterinya, Naimah Khalid didakwa awal tahun ini di Mahkamah Sesyen atas dakwaan gagal mematuhi syarat notis pengisytiharan aset bawah SPRM.
Daim didakwa gagal mengisytiharkan hak miliknya ke atas 38 syarikat, 19 bidang tanah di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan Kuala Lumpur serta enam hartanah.
Sementara itu, Naimah didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan syarikat, beberapa bidang tanah di sini dan di Pulau Pinang serta dua kenderaan.