
Ketua Polis Kota Kinabalu Kasim Muda berkata kejadian yang menyebabkan 26 rumah setinggan hangus terbakar itu dipercayai berpunca daripada litar pintas di sebuah rumah menyebabkan rumah itu terbakar sebelum merebak ke rumah lain.
Katanya, litar pintas itu juga dipercayai berpunca kerana rumah pertama itu yang dijadikan satu-satunya punca untuk kabel bekalan elektrik sebelum talian itu disambung ke rumah lain.
“Ketika itu polis berada antara 50 hingga 60 meter dari lokasi berkenaan. Polis berada di belakang kawasan itu dan tidak terlibat di bahagian depan (kawasan punca kebakaran). Kebakaran itu tidak ada kena mengena dengan kawasan operasi,” katanya dalam kenyataan.
Kasim berkata polis juga memberikan penerangan kepada penduduk bahawa pihak berkuasa tidak hadir ke kawasan itu bagi membakar rumah setinggan, sebaliknya mengadakan operasi membanteras pendatang haram dan jenayah.
Beliau berkata polis membuat panggilan kecemasan bagi melaporkan kejadian itu sebelum bomba tiba pada jam 12.59 tengah hari untuk memadam kebakaran.
Justeru beliau meminta pihak terlibat supaya memadam video tular yang mengelirukan orang ramai itu dan menasihatkan semua pihak supaya berhati-hari dalam berkongsi maklumat yang tidak dipastikan kesahihannya.
Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba Sabah berkata 14 anggota dari Balai Bomba Lintas dan 12 anggota dari Balai Bomba Kota Kinabalu berjaya mengawal kebakaran itu pada jam 2 petang.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian masih dalam siasatan. Pasukan penyiasat masih dilokasi dan mengalami sedikit kelewatan kerana masih terdapat wayar-wayar elektrik yang disambung secara haram,” katanya dalam kenyataan berasingan.
Beliau berkata atas faktor keselamatan, Sabah Electricity Sdn Bhd menasihatkan supaya anggota berhati-hati kerana terlalu banyak penyambungan elektrik haram di lokasi kejadian.