
Saarani berkata beliau menjadi exco negeri bermula dari 2004, 2009 sehingga 2018 tetapi tidak tahu bila kes mengubah status tanah itu berlaku, lapor Sinar Harian.
“Tak ada masalah (untuk beri keterangan). Kita ikut, kalau SPRM panggil untuk memberi keterangan, kita beri keterangan.
“Jadi kalau ia berlaku dalam tempoh itu, kalau panggil saya saya bersedia untuk memberi kerjasama,” katanya kepada pemberita di Seri Manjung, Perak.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini beliau belum menerima sebarang permintaan daripada SPRM untuk memberikan keterangan.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata beberapa bekas exco Perak mungkin dipanggil berhubung siasatan kes memberi rasuah bagi mengubah status tanah rizab Melayu kepada bukan rizab Melayu.
Kata Azam, antara saksi-saksi lain yang akan turut dipanggil termasuklah kakitangan kerajaan yang ketika itu bertugas di Pejabat Tanah dan Galian (PTG).
“Ini termasuklah juga minit mesyuarat berkaitan yang mana dibawa untuk kelulusan exco (mesyuarat exco ketika itu).
“Jadi exco ketika itu akan dipanggil untuk memberi keterangan dan membantu siasatan,” katanya
Sebelum ini, seorang bekas timbalan pendaftar hakmilik PTG Perak didakwa di mahkamah manakala pengarah urusan sebuah syarikat hartanah yang ditahan reman berkait tanah rizab Melayu seluas kira-kira 650 hektar yang ditukar status kepada bukan rizab Melayu.
Tanah itu kemudian dipindah milik kepada 317 individu serta syarikat bukan bumiputera di mukim Sitiawan, Manjung.