Didakwa abai 2 kanak-kanak, guru tadika mengaku tak bersalah

Didakwa abai 2 kanak-kanak, guru tadika mengaku tak bersalah

Turut dituduh seorang pembantu tadika yang didakwa melakukan kesalahan itu sejak Mac.

Tiga guru dan seorang pembantu tadika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas tuduhan mengabaikan dua kanak-kanak lelaki di pusat asuhan itu sejak Mac lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tiga guru dan seorang pembantu tadika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas tuduhan mengabaikan dua kanak-kanak lelaki di pusat asuhan itu sejak Mac lalu.

Bagaimanapun, semua tertuduh, Nur Hanis Azwani Ghazali, 24; Hafsah Ab Razak, 33; Nur Diyana Zainudin, 24, dan Jamia Abd Rahman, 41, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah dan Hakim Azaraorni Abd Rahman, menurut Sinar Harian.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan iaitu guru tadika dan pembantu taska kepada kanak-kanak lelaki berusia empat dan enam tahun sewaktu kejadian telah mengabaikan atau menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di alamat Bonda Preschool, No 12-1 dan 14-1 Jalan Cheng Indah 8, Taman Cheng Indah, Tanjung Minyak, di sini, antara pertengahan Mac hingga awal Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan dan Nor Asnini Kamarudin yang mengendalikan pendakwaan masing-masing mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dan RM15,000.

Namun peguam mewakili semua tertuduh, Mohd Fadil Mohd Yusof merayu agar jaminan dikurangkan dengan alasan tiga guru itu menanggung keluarga dengan pendapatan RM1,500 sebulan, manakala Jamia yang juga ibu tunggal dengan gaji RM900 sebulan tidak terlibat dengan penjagaan kanak-kanak di tadika itu.

Rohatul Akmar kemudiannya membenarkan Nur Hanis Azwani dan Jamia dikenakan jaminan RM7,000 dengan seseorang penjamin selain syarat tambahan perlu hadir pada sebutan dan bicara, tidak mengganggu mangsa dan hadir di balai polis berhampiran setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan tarikh sebutan semula pada 30 Julai depan.

Manakala dua lagi tertuduh, Azaraorni membenarkan mereka dijamin RM10,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan selain menetapkan 24 Julai depan sebagai sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.