
Semakan FMT di platform e-dagang hartanah mendapati banyak iklan sewa kediaman terbabit dipaparkan, walaupun rumah itu sepatutnya diduduki pembeli yang mendapat bantuan kerajaan.
Bantuan kerajaan membolehkan kediaman PPR dibeli pada harga sekitar RM35,000, menerusi inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Dalam satu pencarian, seorang individu mengiklankan kediaman di PPR Hiliran Ampang dengan sewa RM1,000 sebulan. Kediaman berkeluasan 650 kaki persegi ini, dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air, dikatakan dikehendaki ramai kerana tidak jauh dari Kuala Lumpur serta berhampiran pelbagai kemudahan.
Difahamkan bayaran pembiayaan bulanan bagi rumah itu maksimum RM300, bagi tempoh 15 tahun.
Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan memberitahu FMT bahawa rumah PPR atau perumahan DBKL mempunyai dua kategori, iaitu dijual atau disewa kepada B40, dan pemilik rumah tidak dibenarkan menyewakan semula unit mereka menurut perjanjian dengan pemaju iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur atau KPKT.
Pengerusi Prakash P Kalivanan menggesa kerajaan melakukan semak silang data untuk mengesan penyewa atau pemilik rumah PPR yang membeli kediaman lain. “Kalau mereka dah mampu beli rumah, DBKL atau KPKT perlu terus ‘keluarkan’ mereka. Semakan perlu dibuat setiap tiga atau enam bulan sekali,” katanya.
Prakash berkata ketiadaan akta khusus berkaitan penyewaan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) antara sebab ‘perniagaan sampingan’ ini berlaku.
“Akta Sewaan Kediaman yang mula dibawa ke Parlimen sejak 2018 masih tertangguh sehingga hari ini,” katanya.
Minggu lalu Menteri Nga Kor Ming berkata KPKT akan melaksanakan operasi besar-besaran dalam masa terdekat bagi mengesan pemilik PPR yang menyewakan rumah mereka kepada pihak lain termasuk warga asing.
Menurut Nga, tindakan itu dianggap melanggar undang-undang kerana kerajaan menyediakan subsidi lebih RM240,000, bagi membantu mereka yang tidak mempunyai kediaman sendiri membelinya pada harga RM45,000.
Mengikut sistem bank data perumahan negara di bawah KPKT, sebanyak 102,823 unit membabitkan 164 projek PPR disediakan di seluruh negara di bawah seliaan agensi persekutuan dan kerajaan negeri.