
Tertuduh, Chan Eng Leong dan Tan Kok Siang masing-masing berusia 50 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Berdasarkan semua pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa meminta suapan wang tunai dan bayaran cek keseluruhan RM6,675,150 daripada Pengarah syarikat GTM Land and Property Sdn Bhd Goh Choon Kim.
Ia sebagai dorongan untuk membantu menyelesaikan masalah duti eksais dengan JKDM bernilai RM108 juta yang dihadapi oleh syarikat Global Tobacco Manufacturers (Int) Sdn Bhd, lapor Berita Harian.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di Bukit Mertajam serta sebuah bank di Queensbay Mall, Bayan Lepas, 12 September 2019.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wirna Ariffin, Muhammad Taufik Awaludin dan Mohd Syahzada Azad Sanusi mengendalikan pendakwaan manakala Eng Leong diwakili peguam, RSN Rayer dan Kok Siang pula diwakili peguam S Meharaj.
Hakim menetapkan jaminan masing-masing RM10,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi kedua-dua tertuduh.
Mahkamah turut mengenakan tiga syarat tambahan terhadap tertuduh iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah, melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan 2 Ogos depan.