Tiada ‘blueprint’, Malaysia tak sedia menuju negara menua

Tiada ‘blueprint’, Malaysia tak sedia menuju negara menua

Penyelidik UPM berkata sokongan kepada warga emas tidak lengkap, tiada dana usahawan bagi sara hidup dan sistem pengangkutan tidak mesra.

Penyelidik berpandangan banyak pihak berkaitan langsung dengan warga emas masih dalam fasa ‘penafian’. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Tidak cukup pakar geriatrik sebagai persediaan Malaysia menuju negara menua hanya secebis ‘kebimbangan’ dialami golongan penyelidik di lapangan.

Zumilah Zainalaludin dari Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) mendakwa, bukan hanya Kementerian Kesihatan (KKM) malah banyak kementerian berkaitan dan pihak berwajib tidak bersedia menghadapi negara menua berikutan ketiadaan ‘blueprint’.

Zumilah Zainalaludin.

“Sepatutnya sudah ada ‘blueprint’. Dokumen inilah yang akan menjadi panduan apa perlu dibuat semua pihak untuk menyediakan kita ke arah itu.

“Sepatutnya sebuah suruhanjaya ditubuhkan untuk mengetuai penghasilan ‘blueprint’ tersebut. Malah, bajet tahun depan (2025) sudah masukkan peruntukan penjagaan golongan tua,” katanya kepada FMT.

Jumaat lalu FMT melaporkan, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menyatakan negara hanya mempunyai 60 pakar geriatrik, yang akan menjaga dan merawat golongan tua ketika ini, selain mendakwa tidak mudah untuk melahirkan pakar dalam bidang itu berikutan ramai tidak berminat.

Zumilah berkata, bukan hanya KKM yang perlu ‘bimbang’ tetapi kementerian juga lain antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Kita sudah ada peruntukan untuk penjagaan orang tua? Sistem pengangkutan di negara kita mesra orang tua? Adakah kita ada program dana usahawan untuk orang tua, jana pendapatan untuk sara hidup mereka selepas usia 60 tahun?

“Negara luar sudah lama ada ‘blueprint’ dan membina kemudahan mesra orang tua. Tapi di negara kita, banyak pihak masih dalam penafian,” katanya yang sudah menjalankan kajian kemiskinan golongan rentan di lapangan selama 15 tahun.

Beliau turut menegur definisi negara menua yang kerap bercanggah sama ada disebut pemimpin negara atau dalam laporan media.

“Di bawah Dasar Warga Emas Negara, usia tua adalah 60 tahun. Jadi maksudnya negara tua lagi enam tahun, bukan 23 tahun seperti disebut Dzulkefly. Perdana menteri pula baru-baru ini sebut 19 tahun. Ini konflik definisi,” katanya.

Zumilah juga mendakwa, Malaysia tidak mempunyai akta melindungi warga tua menyebabkan pusat perlindungan golongan itu tidak dapat dibina, melainkan ‘menumpang’ akta penjagaan warga emas yang menuntut kos lebih mahal.

“Kita masih tak sedia. Malaysia sudah boleh menangis,” selorohnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.