
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata harga tersebut adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula ‘Mekanisme Harga Automatik’.
Untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu, mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.
“Kerajaan akan terus memantau keadaan semasa bagi mengelakkan ketidakstabilan harga,” katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan.
Beliau menambah dengan mekanisme bantuan bersasar yang telah tersedia, kerajaan kini sudah bersedia untuk melaraskan harga diesel di Semenanjung.
“Esok 10 Jun seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel akan menerima RM200 bantuan tunai bulanan Budi Madani yang pertama,” katanya.
Kementerian Kewangan membuka permohonan bantuan subsidi tunai dibawah inisiatif Budi Madani sebagai langkah untuk memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada golongan yang layak dan mengurangkan beban golongan yang memerlukan.
Amir menyeru golongan yang berkelayakan untuk memohon bantuan itu. “Bantuan ini tidak ada tarikh tutup.”

Dalam pada itu, kerajaan berharap penyasaran subsidi diesel ini akan dapat mengurangkan aktiviti penyelewengan dan penyeludupan, serta ketirisan.
“Melalui penyasaran subsidi, kegiatan penyeludupan dan penyelewengan tidak lagi menjadi suatu aktiviti yang lumayan dan secara logiknya dapat dikurangkan secara drastik,” katanya.
Penggunaan diesel bersubsidi meningkat mendadak dari 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter pada 2023, walaupun bilangan kenderaan diesel tidak bertambah dengan ketara, menurut menteri.
Disebabkan itu, subsidi diesel meningkat 10 kali ganda dari RM1.4 bilion 2019 kepada lebih RM14.3 bilion pada 2023.
“Ini menunjukkan subsidi yang diberi tiris, dan tidak dapat dimanfaat oleh golongan sasaran,” katanya.
Akibatnya, kerajaan katanya mengalami kerugian berbilion ringgit sehingga mengecilkan keupayaan untuk membela kepentingan rakyat.