
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata sindiket dipercayai membuat pengisytiharan palsu dalam Borang Kastam bagi mengelakkan dikenakan cukai.
Selain itu memalsukan pengisytiharan pengimportan barangan memerlukan permit import beberapa agensi seperti Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
Menurut sumber, SPRM menahan tujuh individu terdiri dua wanita dan lima lelaki berusia sekitar 30-an hingga 50-an di sekitar Pelabuhan Klang menerusi Ops Transit petang semalam kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket terbabit.
“Dalang sindiket ini ialah seorang warga Singapura yang kini masih berada di luar negara kerana bercuti bersama keluarga dan daripada tangkapan tersebut SPRM telah membekukan sembilan akaun bank milik syarikat dan individu-individu terbabit,” katanya.

Tujuh suspek terdiri tiga pegawai agensi penguat kuasa, seorang pengarah syarikat serta tiga pekerja itu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan dibenarkan direman hingga Ahad oleh Majistret Irza Zulaikah Rohanuddin.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) dan Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009, selain mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001.
“Menerusi perbincangan dengan Ketua Pengarah Kastam Anis Rizana Mohd Zainudin, kes membabitkan pengisytiharan palsu dan lain-lain kesalahan sebagaimana tertakluk di bawah Akta Kastam 1967 akan dikendalikan Kastam.
“Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan meneliti seluruh aspek pembayaran cukai syarikat dan individu yang terlibat,” katanya.
SPRM dan kastam dalam operasi bersama Rabu lalu menahan 19 buah kontena mengandungi pelbagai barangan import dengan lima daripadanya mengandungi pelbagai jenis barangan bercukai termasuk lampu LED, lampu solar dan tin daging babi diproses.
Semua kontena tersebut diisytiharkan sebagai barangan import termasuk kerusi roda (wheel chair), tekstil dan jamban duduk (commodes) bagi mengelakkan cukai.