Sedia lebih ramai pakar geriatrik hadapi negara menua, kata pakar kesihatan

Sedia lebih ramai pakar geriatrik hadapi negara menua, kata pakar kesihatan

Dr Osman Ali berkata ramai pakar geriatrik diperlukan selain keperluan penyediaan kemudahan asas mesra warga emas pada masa depan.

Hospital-admission
Kemudahan hospital untuk warga tua dengan pakar geriatrik mencukupi diperlukan apabila Malaysia menjadi negara menua menjelang 2035.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa menyediakan jumlah pakar geriatrik yang mencukupi apabila Malaysia menjadi negara menua menjelang 2047, kata pakar kesihatan.

Dr Osman Ali dari Kolej Perubatan Diraja Perak (UniKL RCMP) berkata langkah itu bagi membolehkan perkhidmatan kesihatan terbaik dapat diteruskan apabila 14% daripada populasi negara terdiri daripada individu berusia 65 tahun ke atas.

“Selain kemudahan hospital untuk warga tua dengan pakar geriatrik mencukupi, pelbagai prasarana awam perlu sesuai untuk warga emas ini disediakan,” katanya kepada FMT.

Pada Okt tahun lalu, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang mendedahkan Kementerian Kesihatan (KKM) hanya mempunyai 34 pakar geriatrik di seluruh negara yang tidak mencukupi mengikut nisbah disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia yang akan menjadi negara menua harus mengutamakan pelaburan dalam sektor kritikal seperti kesihatan, farmaseutikal, dan infrastruktur kondusif.

Osman setuju dengan gesaan supaya fokus diberi kepada penyediaan infrastruktur kondusif kerana langkah itu dapat membantu mengurangkan kesan sampingan kepada warga emas.

Beliau mencadangkan aspek perlu dititikberatkan termasuk penyediaan kemudahan pembelajaran bagi warga emas di kawasan awam termasuk rumah ibadat.

“Pembelajaran berterusan untuk golongan ini sangat penting bagi mengelakkan demensia dan kemurungan, kalau boleh sediakan di masjid, gereja dan rumah ibadat lain,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perubatan Hospital Tunku Azizah Dr Muhammad Zarif Asraf pula berkata hasrat reformasi pencen yang hendak dilakukan kerajaan perlu mencakupi pelaburan bidang kesihatan masa depan.

“Sebahagian dana perlu difokuskan bagi pembiayaan bidang kesihatan termasuk sumber manusia yang cukup, terbela dan berdaya maju,” katanya.

Pegawai Farmasi Pengkhususan Bidang Geriatrik Hospital Kuala Lumpur Dr Hadijah Mohd Taib pula menyambut baik usaha kerajaan menyediakan pelan tindakan strategik bagi mendepani cabaran Malaysia menuju negara menua.

Beliau mencadangkan pembangunan perumahan dan kemudahan awam perlu direka mengikut kesesuaian dan keperluan warga emas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.