Kerajaan jamin kebebasan media beri pandangan, teguran, kata Anwar

Kerajaan jamin kebebasan media beri pandangan, teguran, kata Anwar

Perdana menteri berkata kebebasan yang diberi tidak boleh disalah guna untuk memecah belahkan perpaduan dan keharmonian negara.

non
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sentiasa mendukung dan mempertahankan hak serta kebebasan media, malah semangat itu kekal sejak pra kemerdekaan negara.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan terus melindungi kebebasan kepada wartawan dan media dalam melaksanakan tugas termasuk memberi pandangan, teguran dan kritikan.

Anwar berkata industri media sangat penting dalam agenda membangunkan bangsa dan negara tetapi kebebasan yang diberi tidak boleh disalahgunakan untuk memecah-belahkan perpaduan dan keharmonian termasuk menyentuh isu 3R (raja, agama dan bangsa).

“Pendirian saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri, tiada tindakan diambil atau kawalan terhadap ruang kebebasan wartawan dan media dalam memberi pandangan teguran dan kritikan.

“Saya beri jaminan semangat kebebasan itu kekal, walaupun timbulkan sedikit keresahan kerana ketegasan kita tangani isu terkait dengan keselamatan, faham chauvinism dan perkauman, atau aliran pelampau agama,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Wartawan Malaysia 2024.

Beliau berkata, media juga tidak seharusnya menggunakan isu yang menyinggung soal kaum, raja untuk memecah-belah dan memporak-perandakan negara.

Kata Anwar, kerajaan sentiasa mendukung dan mempertahankan hak serta kebebasan media, malah semangat itu kekal sejak pra kemerdekaan negara.

Dalam ucapannya, Anwar turut menyentuh mengenai komitmen beliau untuk memperkasakan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian rakyat tanpa meminggirkan bahasa kebangsaan.

“Ini sama sekali tidak bermaksud kita akan berganjak daripada tonggak dan dasar yang menjadikan Bahasa Melayu itu sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu yang utama di negara ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.