Kenyataan SPRM saya tak sebut ‘10%’ untuk Guan Eng, kata ahli perniagaan

Kenyataan SPRM saya tak sebut ‘10%’ untuk Guan Eng, kata ahli perniagaan

Zarul Ahmad Zulkifli berkata, kenyataannya pada 9 Mac 2018 tidak menyebut tentang bahagian keuntungan projek terowong dasar laut untuk Lim Guan Eng.

ling gug men
Lim Guan Eng berdepan tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri untuk meminta dan menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang ahli perniagaan memberitahu mahkamah pada perbicaraan rasuah melibatkan Lim Guan Eng hari ini bahawa beliau tidak menyebut tentang ‘10%’ keuntungan projek terowong dasar laut yang kononnya diminta oleh Lim dalam kenyataannya kepada pihak berkuasa enam tahun lepas.

Zarul Ahmad Zulkifli berkata, beliau memberitahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau pergi bersama Lim ke rumah rakan kongsi perniagaannya, G Gnanaraja pada 28 Ogos 2017.

Katanya, beliau memberitahu SPRM, setibanya di rumah Gnanaraja, mereka dijemput masuk dan Gnanaraja memperkenalkan Lim kepada isterinya, K Geethanjali, dan ibunya.

Beliau juga berkata, selepas kedua-dua wanita itu beredar, ketiga-tiga mereka membincangkan bagaimana hubungan Lim dengan bekas perdana menteri Najib Razak boleh ‘diperkukuh’ melalui projek kerajaan persekutuan.

“Lim berkata, beliau dan kerajaan negeri tidak akan membantah projek TUDM (tentera udara),” katanya sambil menambah, pertemuan itu berlangsung kira-kira sejam.

Zarul berkata, sebelum mereka beredar, Gnanaraja meminta untuk bergambar dengan Lim.

“Anda tidak sebut apa-apa (dalam kenyataan kepada SPRM) tentang ‘10%’?” soal RSN Rayer, peguam mewakili Lim, merujuk kepada bahagian keuntungan projek yang didakwa diminta oleh anak guamnya.

Zarul menjawab, kenyataannya yang dirakam pada 9 Mac 2018 berhubung siasatan ke atas Gnanaraja tidak menyebut ‘10%’ itu.

“Saya diminta beri tumpuan kepada kes Gnanaraja (semasa kenyataan itu dirakam),” katanya.

Lim sedang dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta Zarul 10% keuntungan projek terowong dasar laut, dan menerima RM3.3 juta sebagai sogokan daripada ahli perniagaan itu.

Dia juga didakwa atas dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.7 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bersambung pada 19 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.