
Sumber berkata, risikan pasukan khas turut disertai Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan mengesan 10 syarikat forwarding (ejen penghantar) yang digunakan bagi menyeludup barang-barang import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu.
“Hasil risikan dijalankan lebih tiga bulan mendapati modus operandi sindiket ini adalah menggunakan pelbagai syarikat forwarding yang didaftarkan atas nama-nama individu yang tidak tahu-menahu mengenai urusan import serta eksport berkenaan.
“Ia bertujuan bagi mengaburi mata pihak berkuasa selain bagi membolehkan ahli-ahli sindiket ini terlepas sebarang tindakan dengan alasan tidak mempunyai kaitan dengan syarikat-syarikat berkenaan,” katanya.
Menurut sumber itu, sindiket berkenaan dipercayai didalangi seorang lelaki warga asing yang beribu pejabat di luar negara dan beroperasi lebih 10 tahun lalu.
“Dianggarkan sindiket ini menguruskan lebih kurang 3,000 kontena sebulan. Hasil ketirisan cukai bagi tempoh 10 tahun dianggarkan sebanyak RM3.5 billion berdasarkan cukai minimum RM7,000 bagi setiap kontena.
“Bagi mengelak dikenakan cukai, sindiket ini membuat pengisytiharan palsu menggunakan borang kastam 9 (untuk tujuan pecah kecil pukal) dengan mengisytihar barangan tidak bercukai seperti kerusi roda dan barangan perubatan,” katanya.
Katanya, hasil risikan juga mendedahkan, kontena itu akan memasuki Gudang Berlesen Awam Pelabuhan Utara hanya untuk tempoh 10 hingga 15 minit sahaja bagi mengaburi mata pihak berkuasa serta tidak melalui proses pemeriksaan kastam dan terus keluar untuk diedarkan ke seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan operasi khas berkenaan dan berkata pihaknya membuat tangkapan serta mendapat perintah reman empat hari terhadap dua individu disyaki terlibat sindiket berkenaan.
“Kami juga mengenal pasti identiti semua pihak termasuk dalang utama dipercayai berada di luar negara, pemilik syarikat, ejen forwarding serta pegawai-pegawai kastam yang bersekongkol dengan sindiket ini dan akan menahan mereka dalam masa terdekat,” katanya.
Katanya, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh termasuk bawah Akta SPRM 2009, Akta Pengubahan Wang Haram, Akta Kastam 1967 dan akta bawah LHDN.
Mac lalu, SPRM berjaya membongkar sindiket penyeludupan dan lari cukai di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, mencecah RM2 bilion bagi tempoh tiga tahun.