Peraih durian didakwa curi cip kasino RM4.6 juta

Peraih durian didakwa curi cip kasino RM4.6 juta

Lee Kian Keong mengaku tidak bersalah atas tuduhan memecah masuk sebuah bilik kasino di Genting Highlands dan mencuri 1,160 cip.

Gavel
Lee Kian Keong bersama tiga lagi tertuduh yang didakwa sebelum ini kerana memecah masuk bilik kasino di Genting Highlands dan melarikan cip bernilai RM4.6 juta. (Gambar Pexels)
RAUB:
Seorang peraih durian didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memecah masuk sebuah bilik kasino di Genting Highlands dan mencuri 1,160 cip bernilai lebih RM4.6 juta pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh Lee Kian Keong, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki tersebut didakwa bersama-sama tiga lagi yang dituduh sebelum ini memecah masuk tempat simpanan dan mencuri 1,160 cip bernilai RM4,607,800 milik Genting Highlands Berhad di Sky Kasino Genting Highlands, pada 7.12 pagi, 28 Okt tahun lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun serta denda dan jika kesalahan mencuri, maka tempoh penjara itu boleh dilanjutkan hingga 14 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid mencadangkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Peguam Dinesh Muthal yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan pendapatan tertuduh yang tidak menentu kerana bergantung kepada pekerjaan sebagai peraih buah bermusim (durian) serta menyara ibunya yang berusia 70 tahun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Julai untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bentong pada November tahun lepas atas pertuduhan sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.