
Sebaliknya, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata orang ramai digalakkan mendapatkan vaksin Qdenga berkenaan di fasiliti kesihatan swasta.
Menurutnya, pada masa sama Kementerian Kesihatan (KKM) akan meningkatkan program kesedaran awam di lokaliti berisiko tinggi khususnya di penempatan padat untuk mencegah penularan kes.
“Buat masa ini kita tidak mewajibkan orang ramai mengambil vaksin ini namun kita ke arah itu untuk memastikan objektif sifar kematian (akibat denggi) dapat dicapai menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sidang Kemuncak Denggi Asia Ke-7 dengan tema “Ke arah sifar kematian denggi: Inovasi, Kerjasama, Tindakan di Asia” yang dihadiri 500 pakar denggi dari 20 negara.
Februari lalu, KKM meluluskan dengan bersyarat vaksin Qdenga – keluaran syarikat Jepun – Takeda GmbH untuk kegunaan individu berumur empat tahun ke atas, dengan keberkesanannya sekitar 80%.
Berdasarkan data KKM, jumlah kematian akibat demam denggi bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini meningkat 58% iaitu 31 kematian berbanding 18 kes tahun lalu, dengan Selangor merekodkan lokaliti ‘hotspot’ denggi paling tinggi.
Kes demam denggi bagi tempoh sama jugak meningkat mendadak dengan 44,144 kes dilaporkan berbanding 28,587 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Sebanyak 123,133 kes telah dilaporkan sepanjang 2023 berbanding 66,102 bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata antara penyumbang utama kepada peningkatan mendadak kes denggi di negara ini adalah pembangunan rancak di kawasan bandar, selain sikap sambil lewa masyarakat terhadap kepentingan kebersihan kawasan sekeliling.
“Sebab itu sekarang kita sedang giat melaksanakan langkah-langkah pencegahan menerusi pasukan penguat kuasa dan PBT agar tahap kesedaran orang awam mengenai bahaya wabak denggi dapat ditingkatkan lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Asia Dengue Voice and Action (ADVA) yang juga jawatankuasa penganjur Dr Zulkifli Ismail berkata sidang berkenaan menawarkan platform kepada penggubal dasar bagi membina rangkaian dan mempelajari strategi berjaya dilaksanakan di negara lain.
“Kemajuan dari segi kawalan vektor, kaedah pemodelan, dan vaksin denggi boleh membantu dalam pembentukan pendekatan baru untuk mencapai objektif kita.
“Pengukuhan kadar pengesanan awal dan pengurusan klinikal merupakan kunci utama bagi mencapai matlamat pengurangan kadar fataliti,” katanya.