Pagar Istana Besar Johor dilanggar kereta terbabas

Pagar Istana Besar Johor dilanggar kereta terbabas

Polis berkata kejadian yang berlaku kir-kira 3 petang semalam itu akibat permukaan jalan yang licin.

istana johor
Gambar tular menunjukkan sebuah kereta terbabas dan melanggar pagar Istana Besar Johor di Johor Bahru semalam. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Sebuah kereta jenis Toyota Vios dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun terbabas lalu melanggar pagar Istana Besar semalam.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat berkata kejadian kira-kira pukul 3 petang itu berlaku akibat permukaan jalan raya yang licin.

“Lelaki itu memandu kereta berseorangan. Keretanya terbabas sendiri tanpa membabitkan kenderaan lain dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan juga mendapati pemandu tidak berada dalam keadaan mabuk dan saringan ujian air kencing yang dibuat ke atas lelaki itu juga negatif dadah,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pemandu tersebut dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar dan satu video berdurasi tiga saat memaparkan sebuah kereta merempuh pagar istana sehingga mengakibatkan pagar tersebut mengalami kerosakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.