Negara sangat perlu penyasaran subsidi, kata ahli ekonomi

Negara sangat perlu penyasaran subsidi, kata ahli ekonomi

Sumber kerajaan boleh disalur ke sektor lebih kritikal seperti kesihatan, pendidikan, dan infrastruktur.

minyak
Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung, di mana kerajaan mampu berjimat RM4 bilion setahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia sangat memerlukan reform subsidi terutama diesel dan petrol bagi menambah kantung kerajaan, justeru membolehkan dana diperuntuk lebih cekap, kata ahli ekonomi.

Pensyarah kanan Universiti Malaya Goh Lim Thye, berkata subsidi kerajaan kebiasaannya mengherotkan pasaran, menjurus ketidakcekapan penyaluran sumber dan penggunaan berlebihan terhadap barang disubsidi.

Katanya, ia juga membebankan belanjawan tahunan kerajaan apabila mengehadkan kemampuan untuk melabur dalam bidang lebih kritikal seperti kesihatan dan pendidikan.

“Subsidi bahan bakar cenderung memberi manfaat tidak seimbang kepada isi rumah berpendapatan tinggi yang menggunakan lebih banyak bahan api, menjadikan ia alat tidak berkesan bagi ekuti sosial,” katanya kepada FMT.

Goh juga merujuk hutang Malaysia yang telah mencecah 62% daripada Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan masih meningkat, dengan Putrajaya sasar memotong defisit fiskal – tahun lalu, defisit fiskal berjumlah RM91.4 bilion, atau 5% daripada KDNK.

“Ini sebahagian dibelanja bagi subsidi. Tahun ini, Malaysia sasar mengurangkan defisit fiskal kepada 4.5% daripada KDNK; menyasarkan subsidi memainkan peranan signifikan mencapai sasaran ini,” katanya.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Afzanizam Abdul Rashid, berkata penyasaran subsidi akan ‘menyusun semula’ bantuan kewangan kepada rakyat dan mengekang ketirisan, memandangkan lebih separuh subsidi bahan bakar dinikmati kumpulan berpendapatan tinggi, T20.

Katanya, subsidi bahan api sering dijadikan sasaran penyeludup dan digunakan warga asing, sedangkan ia sepatutnya dimanfaatkan rakyat tempatan.

“Negara memerlukan wang membangunkan ekonominya. Justeru, kerajaan tidak mampu lagi membazirkan apa sahaja peluang di mana wang itu sepatutnya digunakan demi manfaat rakyatnya sendiri,” katanya.

Afzanizam juga berkata, penjimatan subsidi akan menyediakan peruntukan lebih besar kepada pendidikan, perkhidmatan kesihatan, dan infrastruktur, membantu meningkatkan produktiviti dalam tempoh sederhana dan panjang.

Nazari Ismail dari Universiti Malaya, berkata realitinya kerajaan tidak lagi mampu mendanai subsidi bahan bakar berterusan kepada semua, lebih-lebih lagi hutang negara semakin membengkak setiap tahun.

Beliau mengakui pemotongan subsidi tidak popular dalam kalangan massa, dan kerajaan terdahulu keberatan melaksanakannya kerana impak politik dan kesannya terhadap harga barang dan perkhidmatan.

“Kita kena sedar penjimatan daripada penyasaran subsidi bahan bakar membolehkan kerajaan beri keutamaan dalam perbelanjaannya dan memastikan ia membantu mereka yang betul-betul perlukan bantuan,”

Pada 21 Mei, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Jemaah Menteri bersetuju pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung, yang mana memberi penjimatan RM4 bilion setahun.

Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis pengangkutan barang akan terus menikmati subsidi diesel.

Kementerian Kewangan juga telah mengumumkan bantuan RM200 bulanan bagi bantuan diesel kepada individu layak.

Pada Februari, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali, berkata kehilangan RM4.5 juta sehari kesan aktiviti penyeludupan tiga juta liter diesel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.