Bayi 17 bulan cedera di muka disyaki didera pengasuh

Bayi 17 bulan cedera di muka disyaki didera pengasuh

Pengasuh terbabit telah dipanggil memberi keterangan, menurut polis.

abuse
Polis menerima laporan bahawa seorang bayi perempuan berusia 17 bulan didera di pusat asuhan yang menjaganya di Bandar Mahkota Cheras.
KUALA LUMPUR:
Seorang bayi perempuan berusia 17 bulan cedera di bahagian muka dipercayai akibat didera pengasuh di sebuah pusat asuhan di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada bapa bayi itu yang berusia 26 tahun, pada 7.36 malam.

Beliau berkata, pengadu yang bekerja sebagai pemandu e-panggilan memaklumkan, semasa mengambil anaknya di pusat asuhan itu, seorang guru atau pengasuh mendakwa anaknya diperlakukan dengan kasar oleh seorang guru lain.

Guru atau pengasuh itu mendakwa, ketika disuap makan, bayi itu ditarik rambut serta dipicit hidungnya sehingga mengakibatkan hidungnya mengalami kecederaan, menurut pengadu.

“Oleh sebab tidak berpuas hati dengan layanan dan perbuatan guru berkenaan, pengadu memberhentikan anaknya daripada pusat asuhan itu.

“Hasil pemeriksaan dan rawatan di sebuah hospital, pegawai perubatan mengesahkan anak pengadu mengalami ‘soft tissue injury’.

“Sehubungan dengan itu, pengasuh terbabit dipanggil memberi keterangan,” katanya.

Mohd Zaid berkata, pusat asuhan itu didapati beroperasi hampir tiga bulan tetapi dipercayai masih belum mempunyai lesen operasi yang sah.

Ketika ini, katanya, terdapat sembilan kanak-kanak dijaga di pusat asuhan itu oleh tiga penjaga atau pengasuh merangkap guru.

Kes disiasat bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan sebelum kertas siasatan dilengkapkan untuk dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan nasihat lanjut,” kata Mohd Zaid.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Muaz Mazlan daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang melalui talian 017-9788804.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.