3 tahun tertangguh, Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak Kajang hampir siap

3 tahun tertangguh, Kompleks Wanita dan Kanak-Kanak Kajang hampir siap

Kompleks itu sepatutnya siap April 2021, namun dijadual penyerahannya kepada KKM pada hujung Julai.

Kompleks Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kajang pada 31 Mei.
PETALING JAYA:
Kompleks Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kajang bernilai RM305 juta dijangka siap penghujung bulan ini selepas lebih tiga tahun lewat, dijadual diserahkan kepada Kementerian Kesihatan pada hujung Julai.

Kompleks berkenaan akan mengurangkan kesesakan di hospital berusia 135 tahun dengan penambahan 272 katil, berbanding 306 katil sedia ada. Ia sepatutnya siap pada April 2021.

Bagaimanapun, ketika projek itu hampir siap, kontraktor projek dan Jabatan Kerja Raya (JKR) menangguhkan tarikh penyerahan beberapa kali, menurut sumber terdekat.

JKR dijadual menyerahkan kompleks tersebut kepada Kementerian Kesihatan pada November lalu, namun ia diinjak kepada Februari tahun ini, sebelum ditolak kepada April.

Unit Komunikasi Korporat JKR memberitahu FMT: “JKR melakukan yang terbaik menyiapkan projek itu seperti dirancang”, apabila ditanya berkait alasan penangguhan.

Najib Razak, perdana menteri ketika itu bersama pegawai Kementerian Kesihatan pada majlis pecah tanah Kompleks Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kajang, pada April 2018. (Gambar Bernama)

Unit itu berkata, kompleks itu sudah 99% siap. “Ia (kompleks) dijangka siap sepenuhnya pada 30 Jun, dan jika kemajuan projek seperti dirancang, dijangka diserahkan kepada Kementerian Kesihatan pada 30 Julai,” katanya dalam kenyataan.

Laman web JKR memaparkan, kompleks 272 katil wanita dan kanak-kanak menempatkan Jabatan Kecemasan dan Trauma, klinik pelbagai disiplin, enam bilik bedah, dan kawasan letak kereta bertingkat.

Sebelum ini, Bernama melaporkan kompleks berkenaan akan memberi manfaat kepada 1.2 juta penduduk Kajang dan Hulu Langat.

Naik taraf dinanti

Hospital tersebut digambarkan pada 2015 oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak, sebagai usang dan sentiasa sesak. Ketika merasmikan majlis pecah tanah pada April 2018, beliau mengakui kepentingan menaik taraf Hospital Kajang.

Digunakan sejak 1889 di kawasan seluas 16 ekar, Hospital Kajang dinaik taraf kepada 250 katil pada 1970, kepada 306 katil pada 2010.

Seorang penduduk Kajang memberitahu FMT, penduduk sekitar memang menantikan pelancaran kompleks rawatan itu.

“Kesesakan di hospital tidak masuk akal,” katanya sambil menambah penangguhan sejak tiga tahun lalu disifatkan ‘terlalu panjang’.

FMT sedang mendapatkan maklum balas Kementerian Kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.