
Mohd Faizul Mat Nasir dan Mohamad Rasul Mohd Zukri, masing-masing 34 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di depan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Faizul didakwa atas pertuduhan menerima suapan RM1,750 pada 16 Julai 2020, manakala Rasul berdepan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM2,550 pada 8 dan 13 Sept 2020. Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank cawangan Kota Bharu, di sini.
Mereka didakwa memperoleh suapan daripada pemilik Kalos Enterprise melalui pemindahan wang dalam talian ke akaun bank masing-masing sebagai dorongan tidak memeriksa lori kargo syarikat itu yang membawa barangan keluar dari kargo KLIA.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Afif Ali dan Nurul Atiqah Mohamad Alias, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Adhwa’ Afiqah Mohd Azmi.
Mahkamah membenarkan Faizul dan Rasul masing-masing dijamin RM7,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin, selain kedua-duanya diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri ke pejabat SPRM di Putrajaya setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 21 Julai ini untuk sebutan semula kes.