
Menteri komunikasi itu berkata, langkah ini bagi membanteras jenayah pengantunan kanak-kanak menerusi media sosial dan menghentikan isu kanak-kanak bawah usia 13 tahun mendaftar media sosial, walaupun tidak dibenarkan.
“Jadi di sini kita lihat ibu bapa, memang kita faham platform ini banyak mendatangkan manfaat tapi ada juga banyak kemudaratan,” katanya.
“Harapan saya dengan kempen ini, kita akan dapat kumpulkan semua agensi termasuk polis, Bank Negara (Malaysia) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi memberi penegasan, apa langkah yang perlu kita ambil untuk sentiasa menjamin keselamatan diri, anak dan keluarga kita.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kita Madani peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini.
Fahmi berkata, menurut Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-Kanak D11 Bukit Aman, platform yang paling banyak disalah guna untuk tujuan pengantunan kanak-kanak ialah aplikasi WhatsApp.
Sementara itu, berhubung dakwaan bekalan Beras Putih Tempatan (BPT) hanya didapati di program karnival jualan Madani, Fahmi berkata kerajaan tidak mengawal bekalan.

Sebaliknya, katanya, tiga langkah sekurang-kurangnya telah diambil untuk meningkatkan kuantiti bekalan BPT.
“Salah satunya, kerajaan telah mengubah suai kontrak bagi agensi untuk membeli beras beras import. Ini memungkinkan lebih 20,000 tan beras tempatan untuk kembali ke pasaran tempatan.
“Simpanan rizab beras tempatan juga telah mula dibawa keluar. Proses itu mengambil masa,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan memanjangkan isu berkaitan BPT kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.
Karnival Kita Madani peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya disertai agensi bawah Kementerian Komunikasi, antaranya Jabatan Penerangan, Bernama, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Antara pengisian program karnival itu termasuk Jualan Rahmah, Sukan Rakyat, Program Jualan Agro Madani dan Larian Madani.