
Tunku Ismail yang dimaklumkan kejadian itu sehari selepasnya telah menggesa pasukan pengiring keselamatan polis terbabit untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.
“Saya tidak membenarkan sebarang tindakan atau ugutan yang menyalahi undang-undang. Saya menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh berkaitan kejadian seorang pegawai polis pengiring yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya.
“Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan mengikut undang-undang dan memberi keadilan sebaiknya kepada mangsa,” titahnya di aplikasi X sambil meminta semua pihak membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Tunku Ismail turut bertitah susulan kejadian itu ada pihak cuba mengaitkannya dengan institusi diraja yang disifatkan baginda sebagai tidak wajar.
“Saya juga sedar ada gerakan mengheret institusi diraja dengan menggunakan insiden ini, tetapi mengaitkan tindakan anggota keselamatan luar dengan diri saya dan seluruh institusi diraja adalah tidak wajar,” titahnya.
Rabu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain berkata polis menyiasat kejadian pengiring seorang kenamaan yang didakwa menyerang seorang lelaki kurang upaya di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum setahun, denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Namun beberapa jam kemudian Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa mengesahkan kes itu sudah diselesaikan, sambil mengesahkan kejadian terbabit berpunca akibat salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan.