
Susulan kejadian yang menarik perhatian umum itu, Razarudin Husain juga menegaskan bahawa polis komited untuk memelihara integriti.
“Polis komited untuk memelihara integriti dan memastikan bahawa tindakan yang sewajarnya diambil untuk mempertahankan keadilan dan melindungi hak-hak individu yang terjejas, terutama golongan OKU,” katanya dalam kenyataan.
Menjelaskan langkah susulan, Razarudin berkata pegawai-pegawai yang terlibat dalam kejadian itu akan dipanggil ke Bukit Aman untuk membantu siasatan.
“Langkah ini diambil untuk memastikan penyiasatan dilakukan secara menyeluruh dan semua pihak yang terlibat dalam memberi keterangan mereka,” katanya.
Beliau menambah tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pegawai yang didapati bersalah.
Rabu lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Shuhaily Zain berkata polis menyiasat kejadian pengiring seorang kenamaan yang didakwa menyerang seorang lelaki kurang upaya di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Namun beberapa jam kemudian Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa mengesahkan kes itu sudah diselesaikan, sambil berkata kejadian terbabit berpunca akibat salah faham arahan pergerakan mengalihkan kenderaan.
Dalam satu kenyataan di X hari ini, Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa pihak berkuasa menyiasat secara menyeluruh kejadian seorang pegawai polis pengiringnya yang didakwa melakukan perbuatan berbahaya di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Tunku Ismail yang dimaklumkan kejadian itu sehari selepasnya telah menggesa pasukan pengiring keselamatan polis terbabit untuk bekerjasama dengan pihak penyiasatan.