Usaha kurang kesesakan di Tambak Johor terus rancak

Usaha kurang kesesakan di Tambak Johor terus rancak

Tambah baik di CIQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar dibuat untuk keselesaan pengembara dari Malaysia dan Singapura yang dijangka meningkat.

padil
Fadillah Yusof (kiri) membuat lawatan mengejut untuk meninjau sendiri pergerakan pengembara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar pada 27 Mei lalu. (Gambar Facebook Fadillah Yusof)
PETALING JAYA:
Usaha mengurangkan kesesakan di Tambak Johor untuk meningkatkan keselesaan perjalanan pengembara dari Malaysia dan Singapura giat dijalankan kerajaan dengan pelaksanaan pelbagai inisiatif.

Tindakan dalam empat fasa itu dilaksanakan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor yang menjadi pintu masuk utama ke Malaysia dari Singapura dan sebaliknya.

Dipantau Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Kesesakan Di Tambak Johor dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, sebanyak 21 inisiatif diperkenalkan sejak 2019 menerusi Fasa 1 dengan 18% atau 17 tindakan telah siap sepenuhnya.

Tiga lagi inisiatif atau 14% sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari tahun depan, sementara satu lagi inisiatif belum dilaksanakan kerana masih dalam proses perolehan.

Bagi Fasa 2, dua inisiatif telah dilaksanakan dan dua lagi giat dijalankan.

Bagaimanapun, bagi pelaksanaan Fasa 3, satu inisiatif ditangguhkan iaitu tambahan 44 laluan M-Bike, dua lagi dalam proses awal dokumentasi manakala satu inisiatif berhubung pembinaan pejalan kaki berbumbung di sepanjang Tambak Johor digugurkan setelah mendapat pandangan Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor berikutan ruang terhad dan kepadatan infrastruktur sedia ada.

Fadillah ketika mempengerusikan mesyuarat berkenaan pada 27 Mei lalu memaklumkan 26 cadangan inisiatif baharu telah diperakui dengan jumlah peruntukan sebanyak RM130 juta untuk dilaksanakan dalam Fasa 4.

Menurutnya, tujuh inisiatif “quick win” berjumlah RM1.75 juta akan dilaksanakan segera menggunakan peruntukan sedia ada Kementerian Dalam Negeri.

Bangunan-Sultan-Iskandar
Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bangunan Sultan Iskandar menjadi satu daripada dua pintu masuk utama pengembara Malaysia serta Singapura. (Gambar Bernama)

“Baki 19 cadangan inisiatif baharu yang lain dengan anggaran RM128.25 juta memerlukan permohonan baharu daripada Kementerian Ekonomi.

“Jumlah ini juga akan diperincikan lagi dengan Kementerian Ekonomi,” kata Fadillah.

Jumlah pengembara di ICQ BSI dan KSAB meningkat 15% setiap tahun

Pelaksanaan pelbagai inisiatif itu perlu disegerakan kerana jumlah pengembara di BSI dan KSAB dijangka meningkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Berdasarkan statistik, 116 juta pengembara direkodkan pada 2023 berbanding 71 juta orang pada tahun sebelumnya, manakala dari Januari hingga 15 Mei tahun ini, jumlahnya mencecah 53.8 juta orang dengan purata harian 398,000 pengembara di kedua-dua CIQ.

Daripada jumlah tersebut, 70% merupakan pengembara warganegara Malaysia dan selebihnya dari negara lain termasuk Singapura.

Jumlah pengembara ini dijangka meningkat pada kadar 15% setahun dan dianggarkan 157 juta pengembara akan melalui kedua-dua pintu masuk menjelang 2025.

Malaysia lancar penggunaan kod QR di pintu masuk Tambak Johor

Bagi melancarkan pergerakan keluar masuk pengembara dari kedua-dua arah, Fadillah turut mengumumkan penggunaan kod QR untuk pemeriksaan imigresen bermula 1 Jun ini yang dijangka menjadi “game changer” kepada usaha kerajaan dalam menangani kesesakan di kedua-dua CIQ.

“Proof of Concept (POC) pelaksanaan kod QR ini akan bermula pada 1 Jun melibatkan warganegara Malaysia terlebih dahulu di BSI dan KSAB bagi mod perjalanan bas dan motosikal.

“Inisiatif ini diperluaskan kepada semua pengguna termasuk bukan warganegara dan pemegang pas jangka panjang serta mod perjalanan termasuk kereta di fasa seterusnya,” katanya.

Pelaksanaan kod QR dijangka mengurangkan tempoh menunggu pengguna bas pada waktu puncak di BSI daripada 120 minit kepada 15 minit, bersamaan 83% penjimatan masa.

Tempoh menunggu pengguna bas di KSAB pula dapat dikurangkan kepada 15 minit berbanding 90 minit yang bersamaan 74% penjimatan masa.

Pengguna motosikal di BSI dan KSAB pula dapat mengurangkan masa menunggu kepada 30 minit, penjimatan masa antara 19% hingga 23%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.