Polis tubuh pasukan petugas khas jemaah haji kandas di Makkah

Polis tubuh pasukan petugas khas jemaah haji kandas di Makkah

Penubuhan pasukan itu tindakan proaktif polis bagi menangani isu tersebut.

DATUK SERI RAMLI MOHAMED YOOSUF
Pengarah JSJK Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf, berkata polis mahu memastikan aduan jemaah haji terkandas di Makkah ditangani secara efisien. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menubuhkan pasukan petugas khas berperanan melakukan siasatan dan tindakan awal terhadap sebarang aduan jemaah haji negara terkandas di Makkah.

Pengarahnya, Ramli Mohamed Yoosuf berkata penubuhan pasukan itu merupakan tindakan proaktif bagi menangani isu tersebut.

“Pasukan ini bakal bekerjasama dengan agensi kerajaan yang berkaitan dan memastikan tindakan selanjutnya diambil berpandukan peruntukan undang-undang tertentu, sesuai dengan kesalahan yang dikesan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, polis, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Lembaga Tabung Haji masing-masing mempunyai undang-undang berbeza bagi menangani isu berkenaan, bersesuaian kesalahan yang berlaku.

“Justeru, penubuhan pasukan petugas khas ini adalah bagi memastikan sebarang aduan yang diterima, dapat ditangani secara lebih efisien dan berkesan,” katanya.

Ramli berkata, pihaknya menerima satu laporan di Negeri Sembilan yang mendakwa terdapat jemaah haji dari Malaysia terkandas di Makkah pada musim haji tahun ini.

Bagaimanapun, siasatan awal setakat ini mendapati isu dalam kes tersebut adalah menjurus kepada bidang kuasa siasatan Lembaga Tabung Haji, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.