
Malah, Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia berpandangan langkah kerajaan meneruskan subsidi diesel kepada sektor tertentu mampu mengekalkan kos operasi dan pada masa sama meningkatkan pengeluaran.
Presidennya Adzmi Hassan berkata bantuan subsidi RM200 sebulan menerusi Inisiatif Budi Agri-Komoditi di bawah Program Budi Madani sememangnya dialu-dialukan oleh pekebun kecil untuk membantu mengurangkan kos mengangkut hasil komoditi seperti sawit serta getah.
Namun pada masa sama beliau berharap kerajaan dapat mengkaji semula syarat permohonan memandangkan salah satu daripadanya dianggap ‘tidak sesuai’ baik kepada pekebun kecil kelapa sawit atau getah.
Menurutnya, ini kerana tidak ramai pekebun kecil meraih jualan minimum antara RM50,000 dan RM300,000 setahun seperti syarat ditetapkan untuk menikmati bantuan terbabit.
“Ramai pekebun kecil hanya mengusahakan sekitar 3.5 atau 3.8 hektar keluasan tanah, biasanya kalau nak dapat jualan minimum itu kena ada enam hektar tanah.
“Kalau Sabah dan Sarawak mungkin tiada masalah kerana mereka ada tanah luas, tapi di Semenanjung hanya babit kebun kecil, harap kerajaan dapat lihat semula,” katanya kepada FMT.
Kelmarin, Kementerian Kewangan mengumumkan pelaksanaan Budi Madani susulan perutusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim minggu lalu, berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel, di Semenanjung.
Sehubungan itu, bagi membantu menstabilkan kos operasi sektor pertanian, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai bulanan RM200 di bawah inisiatif Budi Agri-Komoditi kepada pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
Insentif itu sebahagian langkah membendung kenaikan mendadak harga barang dan perkhidmatan dengan terus menyediakan subsidi diesel kepada 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) William Ng menjangkakan penyasaran subsidi diesel tidak akan memberi kesan serta-merta terhadap kos operasi perniagaan bagi sektor itu.
“Sesetengah pembekal mahupun pengendali pengangkut barang tidak akan melaraskan kadar logistik dengan serta merta,” katanya yang turut menjelaskan kos pengangkutan lazimnya menyumbang 5% hingga 20% bagi operasi PKS.