
Tanpa mendedahkan tempoh lanjutan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata peguam kepada Mirzan dan Mokhzani Mahathir telah berhubung dengan pegawai penyiasat SPRM mengenai tempoh pengisytiharan terbabit.
“Kita telah tetapkan tempoh tarikh mereka mula kena isytiharkan harta mereka, jadi kita sudah capai persetujuan dalam perkara itu,” katanya selepas Majlis Prapelancaran Projek Kerjasama Penerbitan dan Program Penerapan Nilai Integriti (Antirasuah) Usaha Sama SPRM dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) Azman Adnan.
Pada 18 Januari lepas, kedua-dua ahli perniagaan itu diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis mengikut Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Pada 24 Mei lepas, portal berita tempatan melaporkan kedua-dua anak Mahathir itu memohon lanjutan tempoh pengisytiharan harta walaupun telah diberikan sebelum ini.
Dalam pada itu, media turut melaporkan bahawa Mokhzani juga disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.