
Fahmi berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) baru-baru ini berkongsi pandangannya dari segi undang-undang berhubung perkara itu dengan Jemaah Menteri.
“Jemaah Menteri dimaklumkan, perlu ada sedikit pindaan undang-undang,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Jemaah Menteri.
“(Perkara ini) belum diputuskan tetapi ada kemas kini, dan kertas (cadangan) yang dimaksudkan akan dibawa minggu depan,” katanya.
Apabila ditanya undang-undang mana yang perlu dipinda, Fahmi berkata, perkara itu belum dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.
“(Isu) laluan selari ini melibatkan pertindihan antara MQA (Agensi Kelayakan Malaysia) dan MPM (Majlis Perubatan Malaysia).
“(Ada) doktor yang dapat (kelayakan) melalui MPM, yang lain melalui MQA,” katanya menambah, perkara ini turut akan dibincangkan minggu depan.
Pada Isnin, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir berkata, pindaan Akta Perubatan akan dibentangkan pada mesyuarat Dewan Rakyat akan datang dalam usaha kerajaan menyelesaikan isu berkaitan program laluan selari.
Katanya, pindaan itu dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan perbincangan dengan AGC.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata, KKM berpegang pada keputusannya untuk meminda Akta Perubatan bagi merapatkan jurang antara program laluan selari dan program ijazah perubatan tempatan.
MPM kini tercalit kontroversi apabila kelayakan pakar daripada program laluan selari dan graduan genetik perubatan tidak diiktiraf untuk mendaftarkan mereka dalam Daftar Pakar Kebangsaan.
Sebagai tindak balas terhadap pertikaian yang berterusan ini, empat pakar bedah kardiotoraks yang menerima kelayakan daripada Royal College of Surgeons of Edinburgh, bersama enam graduan Universiti Sains Malaysia, memfailkan saman terhadap MPM.