Hasrat PAS tawan Selangor hanya ‘mimpi’, kata pemimpin PH-BN

Hasrat PAS tawan Selangor hanya ‘mimpi’, kata pemimpin PH-BN

Timbalan Ketua Penerangan PKR R Ramanan berkata sasaran PAS tak realistik berdasarkan kekalahan PN pada PRK Kuala Kubu Baharu, 11 Mei lalu.

ph-bn
Gabungan PH-BN mengekalkan penguasaan di PRK Kuala Kubu Baharu meneruskan kemenangan pada PRN Selangor pada Ogos tahun lepas.
PETALING JAYA:
Pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menyifatkan sasaran PAS menawan Selangor pada PRU16 sebagai mimpi, terutamanya berikutan kekalahan terbarunya pada PRK Kuala Kubu Baharu (KKB) pada 11 Mei lepas.

Timbalan Ketua Penerangan PKR R Ramanan menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini sebagai tidak realistik, apabila mengambil kira kemenangan PH di KKB menerusi Pang Sock Tao yang dicapai hasil kerjasama erat gabungan kerajaan perpaduan.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata, PAS mungkin boleh mendakwa sedemikian jika Perikatan Nasional (PN) menang pada PRK itu.

“Dia orang sudah jadi bomoh, Kalau tengok memang semua parti dalam PRU akan kata tak akan kalah (PH-BN).

“Itu harapan mereka dan kalau mereka kata fakta … saya kata hanya mimpi sahaja,” katanya kepada FMT.

Pada 26 Mei lepas, media melaporkan Tuan Ibrahim berkata, PAS meletakkan sasaran utama untuk menawan Selangor, Perak dan Pahang pada PRU16.

Justeru, kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, gerak kerja parti perlu disusun untuk menterjemahkan kemenangan seperti di Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis.

Pada PRU15, PN menang enam daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor, iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat.

PN turut menafikan majoriti dua pertiga kerajaan PH-BN dengan mencatatkan kemenangan di 22 kerusi pada PRN Selangor Ogos tahun lepas.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tanjong Karang Dr Zulkafperi Hanapi bertindak menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim pada Januari lepas, manakala Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari mengalih sokongan kepada Menteri Besar Amirudin Shari.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Selangor Imran Tamrin pula yakin gerak kerja dan kesinambungan kerjasama antara BN-PH yang kini lebih baik akan menggagalkan usaha PAS.

“Sasaran kami lebih realistik, iaitu menang dua pertiga pada PRU16 jika momentum kerjasama ini kekal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.