
Tengku Razaleigh, yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, konsep itu mencetuskan rasa tidak percaya orang Melayu terhadap DAP.
“(Ada) yang tidak senang (dengan konsep itu) kerana (DAP) mahu mengangkat kedudukan (bukan Melayu) setanding dengan yang dinikmati oleh orang Melayu hari ini,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan FMT.
“Itulah sebabnya (DAP) menganjurkan ‘Malaysian Malaysia’. Jika mereka lupakan sahaja (konsep itu), saya rasa hubungan (Umno-DAP) boleh jadi sangat baik.”
Konsep ‘Malaysian Malaysia’ berkait rapat dengan DAP dan pemimpinnya sejak penubuhan parti itu pada 1966.
Dicetuskan oleh Lee Kuan Yew ketika Singapura masih anggota persekutuan, konsep itu membayangkan ‘Malaysia yang mana semua rakyatnya, tanpa mengira kaum, bahasa mahupun agama, berkongsi peluang hidup yang sama rata’.
Pemimpin Umno selama ini menggesa DAP agar mempertimbangkan tidak menganjurkan slogan itu sekiranya mahukan sokongan lebih meluas dalam masyarakat Melayu.
Bagaimanapun, tahun lepas, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata, tindakan itu tidak perlu.
Katanya, prinsip di sebalik slogan itu telah dijelaskan dengan betul dan dipersetujui bersama sebelum kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dibentuk.
Beliau turut menegaskan sokongan DAP terhadap kedudukan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan keistimewaan orang Melayu dan orang asal Sabah dan Sarawak, seperti yang digariskan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Tengku Razaleigh, bekas Ahli Parlimen Gua Musang, juga mendakwa, keistimewaan orang Melayu disalahertikan sebagai layanan istimewa. Keistimewaan tersebut ialah hak seperti yang digariskan dalam ‘kontrak sosial’, jelasnya.
Dalam konteks Malaysia, kontrak sosial merujuk kepada perjanjian tidak bertulis, yang dibuat sebelum Merdeka, antara orang Melayu dengan kaum Cina dan India.
“Raja-raja Melayu bersetuju memberikan mereka (golongan bukan Melayu) kerakyatan dengan syarat mereka menerima kedudukan istimewa orang Melayu,” kata Tengku Razaleigh.