
Mereka berkata ini akan menyebabkan kelewatan lebih lama kepada penantian pesakit jantung, yang kebanyakannya mengambil masa sehingga setahun untuk mendapat temu janji kerana kekurangan pakar bedah kardiotoraks.
Pada masa ini, hanya terdapat 14 pakar bedah kardiotoraks di hospital awam.
Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pendidikan Tinggi bertemu pemegang taruh dan wakil Jabatan Peguam Negara untuk membincangkan kemungkinan pindaan kepada Akta Perubatan, dengan tujuan untuk membolehkan pakar ini diiktiraf oleh MPM.
Namun jurucakap bagi kumpulan doktor berkenaan menjelaskan laluan itu tidak perlu kerana semua pelatih yang menamatkan program itu menjalani sekurang-kurangnya enam tahun latihan terselia di pusat jantung hospital KKM, Institut Jantung Negara (IJN), dan universiti.
Menurutnya, latihan terselia itu mematuhi piawaian kurikulum kebangsaan dan Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh (RCSEd) di United Kingdom.
“Memandangkan Majlis Perubatan Am UK secara rasmi menerima permohonan kami untuk didaftarkan sebagai pakar di sana, kami menggesa MPM mempertimbangkan semula pendirian mereka untuk tidak mengiktiraf kelayakan kami bagi tujuan penyenaraian dalam Daftar Pakar Kebangsaan,” katanya.
“Mendesak pemindahan kredit ke universiti lain tidak menyelesaikan punca masalah. Ia hanya mengalihkan tanggungjawab kepada pihak lain. Ia juga mengganggu usaha yang sedang dijalankan untuk mengiktiraf kelayakan sedia ada,” katanya kepada FMT.
Bulan lalu, Dr Raja Amin Raja Mokhtar, yang menganggotai lembaga pengajian program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks Universiti Teknologi Mara (UiTM)-IJN, berkata beliau bersetuju untuk membuka sementara kursus itu kepada pelatih laluan selari bukan Bumiputera dan graduan melalui pemindahan kredit.
Raja Amin berkata ini akan menjadi satu cara untuk mendapatkan MPM mengiktiraf kelayakan mereka untuk pendaftaran sebagai pakar.
Program pakar pembedahan kardiotoraks UiTM masih belum diiktiraf oleh MPM. Bagaimanapun, Agensi Kelayakan Malaysia memberikan akreditasi sementara kepada program tersebut untuk melatih pakar bedah kardiotoraks. Kumpulan pertama pakarnya akan menamatkan pengajian dalam masa dua tahun.
Jurucakap itu yang minta namanya tidak disiarkan berkata, Jemaah Menteri yang akan membincangkan perkara itu perlu mempertimbangkan hakikat bahawa pada masa ini terdapat 14 program pakar laluan selari yang memerlukan pengiktirafan MPM dengan segera, memandangkan kekurangan yang serius di hospital awam.
Selain pembedahan kardiotoraks, beliau berkata terdapat hampir 3,000 doktor muda dalam kepakaran penting seperti perubatan keluarga, urologi, pembedahan plastik, perubatan dalaman, serta obstetrik dan ginekologi.
Beliau berkata kebanyakan pakar bedah kardiotoraks kanan sedia ada dilatih menggunakan rangka kerja sama, yang ditambahbaik dengan penilaian koordinasi yang lebih baik untuk menjadi laluan lebih berstruktur.
“Peperiksaan (akhir) diiktiraf oleh RCSEd. Kita menduduki peperiksaan bersama-sama dengan rakan sekerja dari Singapura dan Hong Kong,” katanya.
“Mereka tidak mempunyai masalah untuk diberi tauliah dan didaftarkan di negara mereka tanpa sebarang sokongan daripada pihak lain.
“Tuduhan tidak berasas daripada pihak tertentu yang mempersoalkan kecekapan kami dan kesahan latihan kami sangat menghina bukan sahaja kepada kami, tetapi juga jurulatih kami, pesakit, dan Kementerian Kesihatan yang mengesahkan latihan kami.”