
Syarikat perladangan itu berkata, THP melaksanakan inisiatif membeli buah tandan segar (BTS) sawit daripada pekebun kecil Bumiputera bagi meningkatkan kapasiti kilang sawit miliknya, dan pada masa yang sama, menyumbang pendapatan lebih baik kepada golongan itu.
“Kerjasama strategik bersama pekebun kecil ini adalah pendekatan serampang dua mata yang memberikan pulangan menarik kepada kedua-dua pihak, selain menjadi program tanggungjawab sosial korporat dengan menyasarkan peningkatan status ekonomi pekebun kecil Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, inisiatif itu juga mewujudkan rantaian nilai mampan bagi pekebun kecil, THP dan Lembaga Tabung haji.
“Berpandukan sambutan yang amat menggalakkan, inisiatif berkenaan sudah dilebarkan hampir ke seluruh enam kilang milik THP yang beroperasi. Program ini menyumbang 30% kepada BTS yang diproses oleh kilang-kilang minyak sawit THP.”
THP berkata, Program Budi Madani memberikan faedah lebih baik kepada pekebun yang menggunakan pelbagai jenis pengangkutan persendirian seperti lori kecil untuk mengeluarkan buah sawit daripada ladang dan menghantarnya ke kilang sawit milik THP.
“THP menyokong usaha murni kerajaan untuk menambah baik dan mengukuhkan ekonomi negara. Inisiatif ini penting untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan, dan kami akan memberi komitmen untuk menyumbang secara positif kepada matlamat ini,” katanya.
Semalam, Kementerian Kewangan mengumumkan pelaksanaan Budi Madani susulan perutusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim minggu lalu, berhubung keputusan Jemaah Menteri untuk melaksanakan penyasaran subsidi bahan api diesel, di Semenanjung.
Sehubungan itu, bagi membantu menstabilkan kos operasi sektor pertanian, kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai bulanan RM200 di bawah inisiatif Budi Agri-Komoditi kepada petani, penternak, dan pengusaha akuakultur yang memenuhi syarat ditetapkan.
Sebarang pertanyaan berkenaan bantuan tunai subsidi diesel sektor pertanian boleh diajukan kepada Bilik Gerakan KPKM di talian 03-8870 1207 / 1147, bermula 8.30 pagi sehingga 5.30 petang pada hari bekerja atau emel kepada [email protected].
Pemohon juga boleh hadir ke jabatan atau agensi KPKM yang berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat pengisian borang permohonan.