
Beberapa pemimpin yang dihubungi FMT turut menegaskan tidak adil membandingkan kemampuan mereka yang baharu ditubuhkan dengan parti telah puluhan tahun bergelumang dalam politik seperti MCA.
Mengambil contoh Sayap Bersekutu Bersatu, Ketua Penerangannya R Sri Sanjeevan berkata usia komponen itu kurang tiga tahun manakala Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) baharu lebih sebulan berada dalam PN.
Menurutnya, tiada masalah jika mereka mahu bekerjasama dengan MCA yang sudah berusia puluhan tahun selain mempunyai tapak, akar umbi dan jentera kuat untuk menarik sokongan bukan Melayu.
“Bila kita kata sedia kerjasama dengan MCA bukan bermakna sayap Bersekutu Bersatu, MIPP, Gerakan dalam PN tak kuat untuk tarik bukan Melayu…cuma kami baharu sahaja dibentuk.
“Dulu Umno bermusuh dengan PKR sekarang berbaik, tak mustahil juga PN nanti dapat sokongan bukan Melayu dengan orang Melayu kekal dengan PN,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan penganalisis dari Universiti Kebangsaan Malaysia Kartini Aboo Talib yang menyifatkan ketiadaan ‘taring’ di kalangan parti komponen bukan Melayu dalam PN mungkin menyebabkan Azmin mencadangkan kerjasama dengan MCA.
Azmin berkata gabungan itu kini sedang mengkaji beberapa strategi untuk menarik sokongan bukan Melayu termasuk kemungkinan bekerjasama dengan MCA.
Ketua pembangkang DUN Selangor itu berkata perkara berkenaan tidak mustahil memandangkan parti komponen BN itu seperti tersisih kerana fokus hanya diberi kepada DAP sahaja.
Namun Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong berkata parti itu kekal bersama Barisan Nasional (BN) dan belum memikirkan membentuk jajaran politik baharu dengan gabungan lain termasuk PN.
Sementara itu, Timbalan Presiden MIPP S Subramaniam mendakwa ada peningkatan sokongan bukan Melayu khususnya pengundi India terhadap PN sejak PRU15 sehingga PRK Kuala Kubu Baharu, 11 Mei lalu.
Menurutnya, PN pada PRU15 menerima sokongan kaum India kurang 5% yang meningkat 21% pada PRN lalu dengan Selangor sahaja merekodkan 14%.
“Pada PRK Kuala Kubu Baharu sokongan kaum India kepada PN bertambah kepada 30%.
“Adakah ini bermakna MIPP sebagai parti komponen tidak bertaring? Walaupun kami sebagai parti yang baharu menyertai PN, kami berjaya meraih sokongan kaum India secara ketara,” katanya.