Pemuda dan Wanita PKR ‘lesu’ punca kurang pemimpin pelapis, kata Hassan

Pemuda dan Wanita PKR ‘lesu’ punca kurang pemimpin pelapis, kata Hassan

Hassan Karim memberi amaran keadaan itu jika berterusan akan menyebabkan masa depan PKR 'gelap' di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Melaka.

pkr congress
Hassan Karim mendakwa ramai pemimpin Pemuda dan Wanita PKR melupakan perjuangan dengan NGO dan pertubuhan sivil, sebaliknya sibuk mengejar jawatan.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin veteran PKR memberi amaran kelesuan sayap parti itu mungkin memberi kesan masa depannya di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Melaka.

Bekas ketua PKR Johor Hassan Karim berkata ketiadaan pelapis untuk diangkat menerajui kepimpinan di tiga negeri terbabit menyebabkan rombakan lambat dibuat dan hanya diumumkan semalam kecuali Melaka.

“Kurang wakil rakyat punca sukar rombak pimpinan PKR negeri, calon bertanding di kerusi Parlimen dan DUN di empat negeri ini hampir semua kalah…hanya menang dua DUN di Pahang, satu Parlimen di Melaka, manakala Kelantan, Terengganu tiada kerusi menang.

“PKR berdepan ‘masa depan gelap’ di empat negeri ini, pemimpin muda tak muncul, yang patah-patah tak berganti. Ini kegagalan kepimpinan Pemuda dan Wanita yang lesu tak bermaya,” katanya kepada FMT.

Hassan Karim.

Beliau turut menegur pemimpin Pemuda dan Wanita PKR yang didakwanya lebih sibuk mengejar jawatan sebagai ‘pegawai menteri’, sebaliknya melupakan perjuangan dengan NGO dan pertubuhan sivil.

Sebagai rekod, Pemuda PKR diketuai Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli manakala Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menerajui Wanita PKR.

Hassan mengulas laporan FMT memetik penganalisis politik Rusdi Omar yang mengatakan ketiadaan pemimpin pelapis terutama dalam kalangan wakil rakyat punca rombakan kepimpinan PKR di beberapa negeri sukar dibuat.

Semalam, PKR mengumumkan rombakan antaranya membabitkan pelantikan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh sebagai ketua di Pahang menggantikan Naib Presiden Amirudin Shari.

Seorang lagi Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad tidak lagi mengetuai PKR Kelantan dan Terengganu, masing-masing digantikan Suparadi Md Noor serta Ahmad Nazri Yusof.

PKR turut menggugurkan Sangkar Rasam sebagai ketua di Sabah dan digantikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang juga Ahli Parlimen Sepanggar Mustapha Sakmud.

Sangkar sebelum ini didesak berundur oleh 15 daripada 26 ketua bahagian di Sabah, namun beliau enggan berbuat demikian, mendorong campur tangan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.