
Wakil rakyat dua penggal itu berkata beliau tidak akan mengkhianati PKR, dan akan berkempen untuk parti walaupun sudah uzur.
Menurutnya, beliau sedia berkhidmat sebagai ahli biasa, walaupun ada perbezaan pandangan dan pendirian dalam beberapa isu antara beliau dan kepimpinan tertinggi PKR, termasuk Presiden Anwar Ibrahim.
“Perbezaan pandangan dan pendirian adalah perkara biasa dalam parti terbuka seperti PKR,” menurut kenyataan.
“Bagi saya secara peribadi, PKR perlu dipertahankan. Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi PKR sukar dicari ganti.”
Kenyataan Hassan ini, yang dikenali sebagai seorang wakil rakyat yang lantang mengkritik parti sendiri dan kerajaan, berlatarkan laporan media berhubung pendirian bekas timbalan presiden, Rafizi Ramli.
Dalam temu bual dengan Sin Chew Daily, Rafizi berkata beliau akan mempertahankan Parlimen Pandan pada PRU16 tetapi berkemungkinan besar bukan sebagai ahli PKR.
Bagaimanapun, bekas menteri ekonomi itu tidak menyatakan bagaimana beliau akan bertanding di kerusi terbabit.
Dalam wawancara itu, Rafizi menegaskan PKR bukan lagi ‘rumah’ baginya kerana parti itu berubah selepas Anwar menjadi perdana menteri.
Rafizi sebelum ini beberapa kali mengkritik Anwar dan kerajaan, termasuk berhubung kontroversi melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki.
Rafizi Ramli meletak jawatan sebagai menteri ekonomi tahun lalu, berkuat kuasa 17 Jun, susulan kekalahan kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan timbalan presiden PKR.