Mahkamah benar permohonan Fahmi batal tuntutan balas Ahmad Dusuki

Mahkamah benar permohonan Fahmi batal tuntutan balas Ahmad Dusuki

Hakim turut memerintahkan penceramah bebas itu membayar kos RM5,000.

fahmi dan ahmad dusuki
September lalu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil fail saman terhadap Ahmad Dusuki Abd Rani kerana siar kata fitnah mendakwa beliau salah guna masjid bagi kempen pilihan raya.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Fahmi Fadzil membatalkan tuntutan balas dikemukakan penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani.

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi, yang mewakili Fahmi, berkata Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain yang membuat keputusan itu memerintahkan Dusuki membayar kos RM5,000 kepada anak guamnya.

“Mahkamah membenarkan permohonan Fahmi antaranya atas alasan tuntutan balas Ahmad Dusuki tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah. Sehubungan itu, keseluruhan tuntutan balas dikemukakan Ahmad Dusuki terhadap Fahmi dibatalkan.

“Mahkamah menetapkan perbicaraan kes saman Fahmi terhadap Ahmad Dusuki bermula 6 hingga 8 April 2026,” katanya kepada Bernama.

Prosiding itu turut dihadiri seorang lagi peguam Fahmi iaitu Ananciata Diego serta peguam Mohd Jamil Yaacob dan Nur Adeeba Ainaa, yang mewakili Dusuki.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memfailkan saman terhadap Dusuki pada 5 Sept tahun lalu yang mendakwa penceramah berkenaan telah menyiarkan kata-kata fitnah mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah serta perintah Sultan Selangor.

Beliau mendakwa, kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Instagram milik Dusuki pada 31 Julai 2023.

Fahmi berkata, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik sepertimana didakwa Dusuki.

Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu dibuat bagi memburukkan nama baiknya demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara selain menjejaskan reputasi beliau sebagai Ahli Parlimen dan ahli Jemaah Menteri.

Dusuki kemudian memfailkan tuntutan balas terhadap Fahmi pada 19 Okt 2023 yang antara lain mendakwa plaintif telah memfitnah beliau dan membuat kenyataan palsu yang tidak pernah diucapkan olehnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.