Kerugian warga emas akibat penipuan ‘online’ RM552 juta

Kerugian warga emas akibat penipuan ‘online’ RM552 juta

Polis berkata kerugian bagi tempoh 2021-2023 itu boleh dicegah jika mangsa mempunyai pengetahuan internet.

online scam
Pengarah JSJK Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf, berkata kerugian dialami warga emas amat tinggi berbanding kategori umur lain.
KUALA LUMPUR:
Jumlah kerugian dialami warga emas yang menjadi mangsa penipuan dalam talian bagi tempoh 2021 hingga 2023 mencecah RM552.5 juta, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 5,533 warga emas atau 6.4% daripada keseluruhan 86,266 mangsa penipuan dalam talian direkodkan dalam tempoh itu, membabitkan kerugian RM2.7 bilion.

Menurutnya, walaupun bilangan mangsa dalam kalangan warga emas adalah rendah berbanding kategori umur lain, nilai kerugian dialami golongan itu amat tinggi.

“Trend hampir sama juga dicatatkan pada tahun ini iaitu daripada 11,918 kes penipuan dalam talian yang direkodkan setakat 19 Mei lepas, 990 mangsa atau 8.3% adalah warga emas…kerugian dicatatkan sudah mencecah RM130.4 juta atau 27.7% daripada jumlah keseluruhan kerugian iaitu RM471.5 juta,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, hasil kajian juga mendapati, daripada 5,533 mangsa warga emas yang direkodkan antara 2021 hingga 2023 itu, 47.6% atau 2,631 individu adalah mangsa penipuan jenayah telekomunikasi seperti phone scam, penyamaran dalam talian, penipuan SMS, dan tawaran hadiah secara dalam talian.

Ramli berkata, daripada 990 warga emas yang menjadi mangsa penipuan dalam talian setakat 19 Mei tahun ini pula, didapati 39.4% atau 390 kes daripadanya membabitkan jenayah telekomunikasi.

Beliau berkata, rekod polis menunjukkan dalam tempoh 2021 hingga 2023, jumlah kerugian jenayah telekomunikasi dalam kalangan mangsa warga emas sebanyak RM253.9 juta daripada jumlah keseluruhan kerugian akibat jenayah telekomunikasi yang melebihi RM873 juta.

Bagi tempoh tahun ini hingga 19 Mei lalu pula, katanya jumlah kerugian mangsa dalam kalangan warga emas akibat penipuan telekomunikasi mencecah RM36 juta daripada jumlah kerugian keseluruhan lebih RM146 juta.

Menurut Ramli berbanding semua lima kategori jenayah dalam talian, jenayah telekomunikasi mudah berlaku terhadap mangsa yang tidak mempunyai pengetahuan berkaitan internet.

Ramli berkata jenayah telekomunikasi adalah kategori jenayah yang boleh dicegah dan dielakkan seandainya mangsa mempunyai pengetahuan dan berwaspada dengan kemungkinan berlakunya jenayah terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.