Henti ‘seksaan jiwa’ pelajar India cemerlang SPM, kerajaan digesa

Henti ‘seksaan jiwa’ pelajar India cemerlang SPM, kerajaan digesa

Dengan keputusan SPM diumumkan hari ini, dua senator bimbang pelajar India yang cemerlang mungkin terlepas lagi peluang ke kolej matrikulasi.

semakan spm dalam on9
Keputusan SPM 203 akan diumumkan hari ini dan permohonan untuk mendapatkan tempat ke kolej matrikulasi akan dibuka tidak lama lagi.  (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua senator menggesa kerajaan untuk memastikan pelajar India yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 tidak perlu melalui ‘seksaan jiwa setiap tahun’ kerana tidak ditawarkan tempat di kolej matrikulasi.

Dengan keputusan SPM diumumkan hari ini, permohonan ke kolej matrikulasi dijangka dibuka tidak lama lagi dan pemohon akan mengetahui nasib mereka dalam tempoh beberapa bulan.

Senator Dr RA Lingeshwaran berkata sangat menyedihkan melihat pelajar cemerlang dipinggirkan dalam mendapat tempat di kolej matrikulasi kerajaan.

“Amat menyedihkan melihat pelajar cemerlang terpaksa merayu untuk mendapatkan tempat apabila ia tidak sepatutnya berlaku. Tiada seorang pun yang patut dinafikan hak daripada sebarang peluang pendidikan selagi mereka layak untuk mendapatkan tempat atau biasiswa.

“Saya berharap kerajaan perpaduan dapat menghentikan perkara ini sama sekali. Jangan nafikan hak sesiapa untuk mendapatkan tempat berdasarkan etnik mereka,” katanya kepada FMT.

Senator C Sivaraj, yang sebelum ini menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyediakan 2,500 tempat di matrikulasi untuk pelajar India berkata, ini masanya Putrajaya membetulkan ketidakadilan kerana sudah diketahui bahawa komuniti India ketinggalan jauh dan memerlukan bantuan seperti itu.

“Terlalu banyak kekecewaan dan kesakitan setiap kali keputusan (permohonan ke matrikulasi) diumumkan. Saya menggesa perdana menteri untuk menghentikan ketidakadilan ini,” katanya.

Sivaraj berkata 1,600 tempat ditawarkan kepada pelajar India pada 2017, tambahnya Najib Razak ketika menjadi perdana menteri menjanjikan 2,200 tempat pada 2018.

Bagaimanapun, jumlah tempat masih di bawah 2,000 selepas itu. Ia lebih rendah pada tahun lalu.

“Layanan adil dan sama rata untuk semua komuniti adalah penting. Jangan hanya cuba menarik sokongan komuniti India ketika pilihan raya sahaja, seperti yang berlaku di Kuala Kubu Baharu.

“Orang India perlukan semua bantuan yang kerajaan boleh berikan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.