
Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak berkata, Mohd Hasif Roslan, 38, dalam keadaan stabil dan masih memerlukan rawatan susulan.
Katanya, bapa kepada tiga anak itu yang ditembak dengan peluru menembusi bahagian bahu dan pinggul, diberikan cuti dua bulan secara berperingkat, bergantung kepada keadaan kesihatannya.
“Pastinya insiden itu memberi trauma kepada Hasif dan beliau juga mendapatkan rawatan kaunseling ketika di hospital. Sekiranya perlu, sesi kaunseling akan diberikan lagi.
“Keadaannya kini stabil, boleh berjalan dan tidak memerlukan tongkat,” katanya menurut Harian Metro selepas majlis penyerahan sumbangan kerajaan Johor kepada anggota polis kontinjen Johor di IPK Johor.
Dalam serangan pada 2.45 pagi 17 Mei lalu, dua anggota polis berpangkat konstabel, Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, terkorban akibat ditembak dan ditetak dalam serangan seorang individu bertopeng yang turut maut dalam kejadian itu.
Susulan itu, tujuh individu, termasuk lima sekeluarga suspek berusia 19 hingga 62 tahun ditahan.
Dua pelajar institusi pengajian tinggi yang hadir di Balai Polis Ulu Tiram sejurus sebelum serangan berlaku dibebaskan tanpa syarat pada 21 Mei lalu.
Jumaat lalu, Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dilaporkan berkata, lima ahli keluarga penyerang itu kini disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).