Kabinet bincang isu program laluan selari Rabu ini, kata PM

Kabinet bincang isu program laluan selari Rabu ini, kata PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ditanya pemberita sama ada kerajaan telah memutuskan cara untuk menyelesaikan isu itu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata isu berterusan mengenai program laluan selari akan menjadi agenda perbincangan semasa mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.
KUALA LUMPUR:
Isu berterusan mengenai program laluan selari akan dibincang Jemaah Menteri pada Rabu ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Kita akan membincangkan (perkara itu) Rabu ini semasa mesyuarat Kabinet,” katanya ringkas pada sidang media selepas sebuah program.

Anwar ditanya pemberita sama ada kerajaan telah memutuskan cara untuk menyelesaikan isu itu.

Persatuan Perubatan Malaysia sebelum ini menggesa Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengutamakan kesihatan awam dengan membuka sementara program pembedahan kardiotoraks kepada bukan Bumiputera ketika berlakunya kekurangan pakar.

Sebagai tindak balas, Majlis Perwakilan Pelajar UiTM melancarkan bantahan terhadap gesaan kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke program pascasiswazah pembedahan kardiotoraks dengan menggesa semua pelajar memakai pakaian hitam.

Badan pelajar itu kemudiannya memohon maaf kerana menyebabkan ‘salah faham’ berhubung bantahannya baru-baru ini.

Portal berita kesihatan CodeBlue baru-baru ini melaporkan bahawa UiTM bersedia untuk menerima pelatih bukan Bumiputera ke dalam program pembedahan kardiotoraksnya secara ‘sementara’.

Cadangan itu dikemukakan oleh Dr Raja Amin Raja Mokhtar dari Fakulti Perubatan UiTM untuk menyelesaikan kebuntuan yang timbul selepas Majlis Perubatan Malaysia (MPM) enggan mengiktiraf kelayakan yang diperoleh di bawah program laluan selari Kementerian Kesihatan.

Pada 20 Apr, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir meminta MPM dan pakar terbabit menyelesaikan pertikaian mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.