Tiada cukai baharu, subsidi lebih adil tepati keperluan rakyat, kata PM

Tiada cukai baharu, subsidi lebih adil tepati keperluan rakyat, kata PM

Penyasaran subsidi diesel, contohnya, mengecualikan golongan berpendapatan rendah daripada dikenakan cukai, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak mahu memperkenalkan instrumen percukaian baharu yang hanya akan membebankan rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak mahu memperkenalkan instrumen percukaian baharu, sebaliknya melakukan penyasaran subsidi lebih adil dan menepati keperluan rakyat, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Sebagai contoh, penyasaran subsidi diesel yang diumum sebelum ini mengecualikan golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, pekebun kecil dan pemandu teksi daripada cukai, katanya.

“Saya tidak mahu perkenalkan instrumen percukaian baharu yang membebankan rakyat, tentang penyasaran subsidi diesel, (masalah) diesel yang bocor (sekarang) ini melibatkan berbilion ringgit … orang kaya, perindustrian besar yang kerajaan masih berikan subsidi.

“Jadi penyasaran subsidi itu (hanya akan menjejaskan) orang-orang kaya, industri besar dan warga asing. (Termasuk) para nelayan dan pekebun kecil, pemandu grab dan teksi … mungkin hampir sejuta rakyat dikecualikan daripada cukai diesel,” katanya pada Konvensyen Madani di Melaka, lapor Bernama.

Anwar juga menyentuh mengenai Persidangan Ekonomi Islam yang berlangsung pada 28 dan 29 Mei ini di Kuala Lumpur, yang akan mengambil kira teras Maqasid Syariah, iaitu skop lebih luas dan menyeluruh.

“Persidangan ekonomi tersebut akan melihat ekonomi Islam dari aspek Maqasid yang lebih luas, bermakna bagaimana penyertaan rakyat, memperbaiki kesenjangan sosial, menggunakan peluang dan meneroka teknologi digital AI.

“Persidangan itu akan membawa pemikiran baharu yang saya anggap Madani kerana membicarakan soal masyarakat, mencakupi semua bidang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh pada majlis sama berkata, 10 resolusi telah diperhalus untuk dicerakin dan direalisasikan dalam konvensyen dua hari bermula semalam itu.

Katanya, ini termasuk mengakui Malaysia Madani ialah gagasan yang berupaya menyelesaikan permasalahan ummah, memenuhi kehendak semasa dan masa depan serta potensi rakyat.

“Suara dan hasrat rakyat serta agensi kerajaan harus disinergikan sebagai usaha membangun negara Madani seiring dengan kegiatan dakwah agar mesej Rahmah dapat diterjemahkan kepada masyarakat dengan lebih strategik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.